Thursday, 2 February 2017

HULURKAN SALAM KERJASAMA DENGAN PAS

Percaturan politik untuk PRU ke-14 menjadi tidak menentu sejak akhir-akhir ini kerana keadaan politik yang tidak stabil. Parti Islam SeMalaysia (PAS) memasuki fasa menyendiri setelah berlakunya perpecahan dalam PAS. Perpecahan ini membuka ruang ahli yang keluar daripada PAS untuk menubuhkan satu parti baharu yang dinamakan Parti Amanah Negara (PAN). Penubuhan ini menyebabkan berlakunya polemik baru dalam pergerakan parti politik Malaysia. 

Menariknya pada fasa ini, PAS menubuhkan Gagasan Sejahtera sebagai Blok Ketiga. Blok ini mencerminkan budaya baru PAS iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Tujuh prinsip yang diperkenalkan sewaktu muktamar PAS pada tahun 2016. Pertama, politik bertunjangkan prinsip; kedua, politik dakwah dan amar makruf nahi mungkar; ketiga, politik penyelesaian berasaskan Islam; keempat, politik utamakan rakyat; kelima, politik damai dan diplomasi; keenam, politik benar bukan persepsi; dan ketujuh, politik rasional dan profesional. Prinsip ini membentuk sembilan kriteria BPMS. Pertama, bertunjangkan prinsip; kedua, politik dakwah; ketiga, amar ma'ruf nahi mungkar; keempat, fokus penyelesaian Islam; kelima, pertentangan dasar bukan fizikal; keenam, utamakan kepentingan rakyat, kurangkan politiking; ketujuh, politik aman dan diplomasi, kelapan, politik sebenar bukan persepsi; dan kesembilan, politik rasional dan profesional. 

Pelaksanaan BPMS secara tak langsung telah berlaku dalam menentukan kedudukan kerjasama politik PAS dengan parti-parti lain. PAS mengakui mempunyai kerjasama dengan kerajaan (UMNO) atas semangat mempertahankan Melayu-Islam. PAS mengemukakan hasratnya untuk meminda RUU355 melalui beberapa pertemuan dengan pemimpin kerajaan. Haji Hadi diberi peluang tersebut di parlimen tetapi kemudiannya ditangguhkan disebabkan faktor masa dan memberi ruang untuk perbahasan lebih lanjut mengenai pindaan RUU tersebut. 

RUU355 sebagai asas kukuh kerjasama politik kedua-dua parti politik Melayu-Islam itu kerana di situ adanya titik temu yang signifikan iaitu memperkasakan undang-undang Islam. Sementara itu, UMNO yang sebelum ini merupakan parti yang dianggap sekular mempunyai ahli yang tidak bersetuju dengan kerjasama ini. Apatah lagi ia hanya dilihat sebagai menutup kelemahan UMNO yang dipimpin Dato' Seri Najib atas pelbagai isu terkini seperti 1MDB, kenaikan harga barang dan sebagainya. Beberapa menteri merangkap pimpinan utama UMNO juga dibuang kerana mengelakkan isu 1MDB ini diperbahaskan lebih lanjut oleh ahlinya. Akhirnya, Mahathir dengan beberapa orang lagi bekas pimpinan UMNO bermesyuarat menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Memperjelaskan lagi pertentangan terhadap UMNO, PPBM menyuarakan untuk bersatu dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menjatuhkan kepimpinan Najib. Walaupun begitu, Mahathir masih lagi disebut menyayangi UMNO. Penubuhan PPBM pun sebenarnya untuk mengembalikan UMNO yang sebenar. Sayang UMNO tinggal-tinggalkan. Mungkin ini pepatah yang sesuai.

PPBM dicelah-celah itu cuba bekerjasama dengan PAS untuk menghadapi PRU ke-14 bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) dengan memastikan pertandingan satu lawan satu. Bolehkah berlaku begini? Muhyidin dan Mukhriz nampak bersemangat untuk kerjasama ini, tetapi Mahathir nampaknya menolak. Kenyataan Mahathir pada 4/6/2016 dalam Sinar Harian menyatakan bahawa RUU Abdul Hadi tidak Islamik. Adakah Mahathir kini telah bertukar pandangannya untuk menyetujui RUU355 ini? 

Jika belum, hal ini menunjukkan Mahathir belum bersedia bekerjasama dengan PAS. Jika benar berlaku kesefahaman untuk kerjasama ini, PAS pula perlu mengambil masa untuk membincangkannya pada peringkat Majlis Syura Ulama dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memutuskan kerjasama ini seperti yang termaktub di bawah Fasal 26(9)(k) Perlembagaan PAS. Belum sampai masa mesyuaratnya, kemungkinan berubah pula pandangan politik PPBM untuk tidak bekerjasama boleh jadi juga. Jika kerjasama PAS dengan PPBM ini berlaku, maka PPBM akan bekerjasama untuk setiap negeri di Malaysia. Persoalannya, PAS berada dalam GS, jika PPBM bekerjasama dengan PAS, adakah PPBM akan sertai GS. Atau pun kerjasama ini boleh berlaku seperti juga yang pernah dilakukan PAS dengan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) dan UMNO.

Kerjasama seperti PPBM untuk setiap negeri tidak berlaku kepada kerjasama PAS dengan PKR. Isu perpecahan PAS dan PKR di Selangor berlaku secara jelas dalam isu Move Kajang. Isu in ringkasnya merujuk kepada perlantikan calon pilihanraya dun Kajang yang akhirnya kembali kepada Wan Azizah. Begitu juga, isu menyingkirkan Khalid Ibrahim dan perlantikan Menteri Besar baru Selangor yang tidak dipersetujui oleh PAS. Walaupun berlaku pertikaian sebegini, tetapi PAS masih memberi peluang mengekalkan pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor. Azmin yang dilihat lebih selesa dengan PAS daripada PAN, menyatakan tidak yakin dengan kemampuan PAN untuk mengekalkan kemenangan PH. Hal ini mengukuhkan kerjasama PKR dengan PAS di Selangor. 

Kontradiksi berlaku kerana kerjasama PAS dengan PKR hanya di Selangor, tidak di negeri-negeri yang lain kerana tidak ada satu kenyataan yang jelas daripada PAS mengatakan berlakunya kerjasama PAS dengan PKR di negeri lain diteruskan. Jika di Pulau Pinang, PKR dan PAS telah lama tidak bersefahaman. Isu perbalahan perletakan calon untuk PRU di Pulau Pinang juga sudah cukup jelas PKR dan PAS tidak boleh bekerjasama. 

Saat ini, PAS agak selesa memimpin Blok Ketiga bersama dengan Parti Berjasa dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia. Kerjasama seterusnya bagi PAS ketika ini ialah menimbang sama ada boleh bekerjasama dengan PPBM. Mungkin muncul dua blok pula dalam PPBM iaitu Blok menyokong kerjasama dengan PAS dan blok yang menentang kerjasama tersebut.

Untuk PKR, fikir-fikirkanlah Selangor. Namun, tak mungkin boleh berlaku kerjasama PAS dengan PKR lagi kerana pimpinan PAS di kebanyakan negeri terutama di Pulau Pinang dan Kedah telah merasai peritnya bekerjasama dengan PKR. Untuk PAN dan DAP, tidak mungkin kerjasama ini boleh terealisasikan lagi kecuali jika Jawatakuasa Kerja PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama u-turn keputusannya dengan membolehkan pula kerjasama dibuat dengan PAN dan DAP. 

Kerjasama yang agak baik setakat ini ialah kerjasama PAS dengan Kerajaan Pusat (UMNO) bagi memastikan pindaan RUU355 tercapai. Himpunan RUU355 yang dijangka diadakan pada 18 Februari 2017 ini menarik perhatian semua pihak untuk melihat setakat mana bolehnya kerjasama PAS dengan UMNO dalam isu mempertahankan pindaan RUU355 ini.



No comments:

Post a Comment