Wednesday, 17 June 2015

Kisah "Parti Baharu" di Malaysia (Bahagian 1)

Muncul isu penubuhan parti baharu di Malaysia. Isu ini boleh diteliti melalui kisahnya yang melibatkan dua kelompok. Pertama, kelompok G-18; dan kedua, kelompok PASMA. Bagi kelompok yang pertama iaitu G-18, mereka ialah kelompok yang kalah dalam muktamar PAS ke-61 baru-baru ini. G-18 ini merujuk kepada kekalahan yang melibatkan 18 orang. Mereka antaranya ialah Ustaz Ahmad Awang, Mohamad Sabu, Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar, Asmuni Awi, Dr. Mohd Hatta Ramli, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi, Mohamed Hanipa Maidin, Khalid Samad, Datuk Kamarudin Jaffar, dan Zulkifli Mohamad Omar. Penyingkiran G-18 daripada memegang jawatan dalam PAS ini adalah berdasarkan undian majoriti daripada sebahagian pemilih yang dilantik oleh ahli PAS sendiri yang kini berjumlah 1 juta ahli.

Pada malam 16 Jun 2015, G-18 ini mengadakan pula himpunan muafakat politik baharu di Muar, Johor. Setelah himpunan ini, Mohamad Sabu ditanya sama ada telah bersedia untuk menubuhkan parti baharu atau pun tidak, jawapannya ialah masih menunggu betapa kuat sokongan rakyat kepada G-18 ini.

Persoalannya, sejauh manakah kuatnya sokongan terhadap G-18 dan PASMA ini untuk menubuhkan parti baharu? Dimanakah kekuatannya? Untuk menjawab persoalan ini, Wadah sebagai badan yang mengumpulkan pimpinan-pimpinan ABIM antara yang memberi lampu hijau untuk bersedia bergabung menjadi parti baharu. Ia semakin kuat apabila hampir 3000 orang telah hadir dalam himpunan muafakat politik yang diadakan di Muar tersebut. Kehadiran seramai ini seolah-olah mempamerkan masih ada simpati kepada G-18 ini.


Selain itu, dalam muktamar PAS ke-61, G-18 telah berjaya mendapatkan undi sebanyak 200 lebih undi. Undian ini merupakan sokongan yang agak besar. Hal ini bermakna, masih ada ruang dan harapan cerah lagi untuk membina kekuatan baru. Dengan sokongan ini, G-18 yakin masih ada sokongan daripada rakyat kepada mereka. Perkara ini membuatkan mereka bertekad untuk mengelilingi Malaysia mencari sokongan tersebut.

Persoalannya, mengapa masih ada yang menyokong mereka? Hal ini berdasarkan pengalaman G-18 sendiri dengan PAS. Pengalaman mereka penuh dengan tragis. Mereka pernah dihumbankan ke dalam penjara semata-mata untuk memperjuangkan ideologi PAS. Pelbagai demonstrasi yang diadakan adalah untuk menaikan sokongan kepada PAS. Mereka disembur dengan gas pemedih mata oleh FRU, dipukul dengan cota dan ditocher dalam lokap. Semua ini dilakukan atas tujuan berjuang membela rakyat kerana menganggap Islam menyeru begitu.

Selain G-18, kumpulan kedua pula dikenali sebagai PASMA. PASMA merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO). PASMA diketuai oleh Phahrolrozi. Beliau antara pimpinan yang dilihat lahir hasil daripada perahan strategi golongan progresif dalam PAS. PASMA menjadi pencetus awal kepada revolusi untuk menubuhkan parti baharu.

Cetusan ini hadir selepas keputusan muktamar PAS ke-61 juga. PASMA mengumumkan untuk menubuhkan parti baharu dalam satu majlis mesyuaratnya yang diadakan pada 13 Jun 2015. Namun, suara penyokong kuat penubuhan parti baharu ini seakan-akan disilentkan sebentar untuk memberikan laluan kepada G-18 bagi mengumpulkan sokongan dahulu. Dari sini, apa kaitan antara kedua-dua entiti ini iaitu G-18 dan PASMA? Hal ini perlu diperhalusi lagi supaya kita tidak silap dalam mengkategorikan kelompok tertentu.

Persoalannya, adakah mereka tidak sayang kepada jamaah yang mereka perjuangkan selama ini dengan menubuhkan parti baharu? Adakah mereka lupa akan sejarah banyak parti baharu di Malaysia yang banyak terkubur? Di mana perginya semangat dahulu yang sedia berkorban untuk PAS?

Daripada persoalan-persoalan tersebut, ia tidak ditujukan kepada semua mereka kerana sebenarnya masih ada daripada mereka yang tidak mengimpikan penubuhan parti baharu. Misalnya, Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad Awang merupakan pimpinan Persatuan Ulama Malaysia. Walaupun beliau dikatakan sebahagian daripada kelompok ini kerana turut kalah sebagai calon yang dipertandingkan untuk merebut jawatan sebagai Presiden PAS, namun beliau berbeza pandangan dengan kelompok G-18 ini. Beliau pernah menjelaskan melalui media bahawa beliau tidak bersetuju untuk menubuhkan parti baharu.

Dengan ketokohan beliau dalam kepimpinan dan dari sudut keilmuan, saya yakin bahawa beliau juga mahu Islam didaulatkan di bumi Malaysia. Jauh sekali sekiranya kita mengatakan bahawa beliau menolak hudud? Namun, apakah yang membuatkan beliau tidak walak kepada kepimpinan ulamak?

Begitu juga, saya yakin bahawa dengan ilmu dan pengalaman yang ada dalam diri yang dikelompokkan sebagai G-18 atau pun PASMA, mereka tidak akan dengan mudah untuk menolak kepimpinan ulamak yang sedia ada. Namun, apakah sebenarnya yang berselindung di sebalik kekecohan yang berlaku dalam PAS tika ini?


Sambungan di Bahagian 2...

No comments:

Post a Comment