Rumusan Ringkas Pergolakan Politik Turki Bandingannya Dengan Politik Malaysia:
Kerangka ekonomi politik antara Malaysia dan Turki adalah berbeza. Malaysia berada dalam kerangka ekonomi politik Melayu-Islam, manakala Turki berada dalam kerangka ekonomi politik Saljuk. Hal ini sahaja sudah dapat membezakan keduanya dari sudut sejarah, pemikiran kepimpinan dan suasana.
Jika diimbau sejarah permulaan peradaban Turki, ia dibina dengan pengalaman pemerintahan Islam yang cukup panjang melalui beberapa zaman pemerintahan sehingga mampu mematangkan gerak kerja pemerintahan Khilafah Islam. Namun, kematangan tersebut diganggu-gugat dengan tiga kelemahan iaitu kelemahan untuk menguasai pemikiran wanita, kelemahan pemberian penjawatan kepada yang sepatutnya dan tidak menguasai ketenteraan. Saya tak perlu ulas panjang kelemahan ini kerana penumpuan utama kepada tiga perbezaan sebelum ini.
Memang Kamal al-Tarturk berfahaman keBaratan. Barat ambil peluang ini untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Kamal al-Tarturk dipergunakan oleh Barat untuk menumbangkan pemerintahan Islam dengan tiga kelemahan tadi iaitu kelemahan untuk menguasai pemikiran wanita, kelemahan penyusunan penjawatan kepada yang sepatutnya dan tidak menguasai ketenteraan. Dengan menyedari kelemahan pemerintahan Islam ini, kematangan Daulah Islam terus tercalar. Jika Erdogan tidak terlalu keras dengan fahaman Barat kerana beralasan berpuluh tahun berada dalam Era Pemikiran Barat, itu bolehlah diterima. Erdogan mengambil jalan lebih berhati-hati kerana mengambil pelajaran daripada apa yang berlaku kepada Adnan Manderas dan Erbakan.
Kenapa pula Gulen dipersalahkan dalam isu rampasan kuasa melalui ketenteraan ini? Ya, Gulen ialah musuh politik Erdogan. Tidak pelik jika Erdogan menyalahkan Gulen dalam isu ini. Gulen pula menyalahkan Erdogan dengan menyatakan bahawa ia adalah permainan politik Erdogan untuk mengukuhkan kuasa beliau. Hal ini membolehkan penangkapan musuh politiknya dilakukan secara beramai-ramai. Namun, bagi saya ia tidak nampak seperti suatu perancangan rapi untuk mengukuhkan Erdogan dengan mempergunakan tentera kerana mustahil pihak tentera boleh biarkan kredibiliti mereka tercalar dek hanya kerana membahagiakan Erdogan untuk kekal memerintah.
Bagi saya inilah permainan politik, setiap isu yang diketengahkan masing-masing parti akan ambil kesempatan untuk mempamerkan musuh politik adalah salah. Jika hal ini, saya setuju ia sama dengan permainan politik kepartian di Malaysia.
Apabila isu rampasan kuasa ini berlaku, peliknya Amerika menyokong Turki dalam keadaan Turki merupakan sekutu Rusia. Turki kemukakan pula usul untuk berbaik dengan Israel. Perancangan ekonomi bawah tanah Erdogan pula mempunyai hubungan dengan Iran. Apa kena dengan Erdogan ini? Adakah semua ini alasan strategi politik? Indahnya berpolitik jika semuanya dihalalkan untuk dilakukan hanya kerana beralaskan strategi politik.
Bolehkah Isu 1MDB dan Halk Bank dikatakan sama? Jika sama kerana tindakan mereka sama, maka seharusnya Erdogan juga diharapkan dapat meletakkan jawatan sebagai Presiden Turki kerana telah berlaku curang dengan rakyat (curang politik). Hari ini Erdogan dijulang oleh rakyatnya dan diangkat menjadi sekutu kepada Amerika, Israel dan Rusia. Sekutu dengan maksudnya ialah menyokong Turki. Gembira rakyat Turki dan seluruh umat Islam dengan kejayaan ini. Ya, memang patut pun bergembira.
Namun, adakah benar jika dikatakan kuasa-kuasa besar tersebut akan terus menyokong Turki? Benar, saya tidak menolak bahawa Erdogan seorang yang bijak mengatur strategi. Cuba, kita lihat apa yang berlaku di Mesir adalah sebaliknya? Tiga kuasa besar yang sama menyokong Turki hari ini telah bertidak zalim dengan kepimpinan Morsi di Mesir kerana memberikan sokongan kepada al-Sisi untuk menggulingkan kerajaan Morsi. Sudah tentu ada kepentingan politik kepada mereka sehingga mereka menerima Turki dan menolak Mesir.
Jika begini sikap hubungan luar Turki dengan negara kuasa besar tersebut, maka lebih baik pula kepimpinan Malaysia yang tidak secara jelas menyokong Amerika, Rusia dan Israel.
Adakah ada kemungkinan pula, isu 1MDB yang digembar-gemburkan oleh Department of Justice (DOJ) Amerika hanya kerana Malaysia tidak memberi peluang untuk sokong sebahagian tindakan Amerika? Sebagai contoh isu LGBT, liberalisme, dan isu keganasan di negara umat Islam.
Banyak negara umat Islam hari ini telah terbeban dengan tindakan Amerika dan kuasa-kuasa besar yang lain. Apakah jika hari ini Turki berjaya mengalahkan pihak tentera, maka kuasa-kuasa besar itu akan duduk diam tanpa merancang sesuatu yang lebih hebat bagi menjatuhkan kerajaan Turki hari ini? Jika MH370 dan MH17 boleh dirancang sebegitu rupa sehingga ke hari ini belum dapat sebarang bukti yang boleh menghukum pihak-pihak terbabit, adakah tidak ada kemungkinan bahawa selepas peristiwa kegagalan rampasan kuasa ini, maka kuasa-kuasa besar tersebut akan duduk senyap sahaja? Jawapannya, jika Gulen, Erdogan dan beberapa parti Islam masih bertelagah sesama sendiri, maka saya tidak menolak kemungkinan kejatuhan Turki akan lebih dahsyat daripada apa yang berlaku hari ini.
No comments:
Post a Comment