Siasah selalunya
diperbincangkan dalam soal politik. Ini merujuk kepada makna siasah itu sendiri
yang bermaksud politik. Walaupun siasah mempunyai persamaan dari segi maksud,
tetapi sekiranya diteliti, siasah bukan hanya sekadar berkisar dari aspek
politik kenegaraan, malah semua perkara yang berkaitan dengan perlakuan
seseorang manusia itu disebut sebagai siasah.
Ahmad
Atiyatullah di dalam kitabnya, Da’irat
al-Ma’arif al-Hadithah menjelaskan bahawa siasah ialah ilmu pengetahuan
yang berkaitan dengan kenegaraan dan melaksanakan urusan rakyat. Menurutnya
lagi,
ia bukan saja berkaitan dengan manusia, bahkan termasuk juga pemeliharaan dan pelatihan haiwan. Motivasi pembinaan jati diri dari aspek kepemimpinan juga termasuk dalam bidang siasah.
ia bukan saja berkaitan dengan manusia, bahkan termasuk juga pemeliharaan dan pelatihan haiwan. Motivasi pembinaan jati diri dari aspek kepemimpinan juga termasuk dalam bidang siasah.
Hal ini
menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan pembangunan dari aspek sosiopolitik,
sosioekonomi dan sosiologi dalam menggalakkan perkembangan masyarakat yang lebih
sempurna. Siasah penting untuk diperbincangkan supaya idea dan strategi
pelaksanaannya selaras dengan kehendak syariat Islam.
Yusuf al-Qaradhawi
pernah menegaskan dalam kitabnya Fiqh Kenegaraan. Beliau mengatakan bahawa, Islam
telah menyiapkan cara-cara yang sempurna bagi mengatur kehidupan manusia.
Cara-cara itulah yang dipakai bagi mengatur kehidupan politik. Tanpa kuasa
politik, negara kita tidak dapat melaksanakan kewajipan mengajak orang supaya
melakukan kebaikan dan mencegah kejahatan, berjihad, menegakkan keadilan,
mendirikan sembahyang, menolong orang yang teraniaya dan lain-lain.
Pandangan
Yusof al-Qaradhawi itu menunjukkan bahawa kesempurnaan di dalam Islam perlulah
diiringi dengan pengamalan yang konsisten. Kebangkitan kekuatan jiwa penting
untuk membina sikap istiqamah dalam ibadah harian. Dari situlah akan timbulnya
keazaman untuk melakukan ibadah dengan lebih terbaik dari hari ke hari. Tetapi
semangat membara yang sementara akan membakar keseluruhan keazaman sekiranya
tidak dilakukan secara berperingkat.
Inilah
pentingnya strategi dalam Islam. Sebenarnya, strategi dalam Islam telah
diperbincangkan dengan lebih meluas dalam bidang siasah Islam. Setiap
kepemimpinan dalam keluarga, masyarakat atau pun negara perlu bijak menangani
isu-isu tertentu supaya kestabilan politik akan terus kukuh. Tangani dengan
cara Islam akan lebih beruntung dari menanganinya dengan cara lazim. Dua pahala
akan dapat dicapai sekiranya menggunakan cara Islam iaitu pahala niat melaksana
dan pahala pelaksanaannya.
Oleh sebab
itulah, Ibn Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah telah membahagikan siasah kepada
dua perkara iaitu siasah akal dan siasah agama. Menurut beliau, kalaulah undang-undang itu digubal oleh
ahli-ahli akal dan pembesar-pembesar negara serta pakar-pakarnya maka itu
adalah siasah akal. Tetapi kalaulah undang-undang itu diwajibkan oleh Allah swt,
diakui dan disyaratkan maka ianya adalah siasah agama yang memberi manfaat
kepada kehidupan dunia dan akhirat. Kejadian makhluk bukan saja bermaksud untuk
kebaikan dunia mereka kerana kebaikan dunia semata-mata itu sia-sia dan batal.
Hanya kematian dan kebinasaan saja adalah kesudahannya.
Gunakan
kepintaran manusiawi untuk menggalakkan proses ke arah kestabilan politik
melalui kewujudan siasah agama ini. Ini berdasarkan hubungan siasah agama
dengan Allah swt. Hal ini berdasarkan pelaksanaan apa yang diperintah oleh
Allah swt dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya. Oleh hal itu, bersiasah
secara agama membolehkan kita diselamatkan dari bencana kemusnahan dunia ini.
Hari Bumi yang
diadakan baru-baru ini adalah titik tolak dari pemikiran yang ingin terus
mempertahankan kedudukan bumi ini secara lebih baik. Dari aspek alam sekitar
sememangnya perlu untuk menghijaukan bumi ini dan menjaga alam sekitar daripada
tercemar. Tetapi adakah cukup penjagaan bumi hanya dari aspek alam sekitar?
Kemusnahan
bumi yang berlaku pada hari ini adalah berpunca secara dominannya dari
tangan-tangan ghaib dari pengamal ekonomi dan politik. Sekiranya dilihat dari
sudut ekonominya, ukuran kemajuan sesebuah negara itu diteliti dari aspek
kepesatan pertumbuhan pembangunan. Kesibukan sesebuah negara membina pencakar
langit juga menjadi antara ukuran kemajuan sesebuah negara. Boleh dikatakan
kesemua negara mempunyai bangunan pencakar langitnya tersendiri.
Kemajuan berkenaan
juga, telah mempamerkan betapa kestabilan ekonomi sesebuah negara itu telah
kukuh. Jadi, untuk maju perlu membina pembangunan dan meningkatkan
infrastruktur sedia ada. Inilah pemikiran kapitalis yang telah tersebar dalam
pemikiran pengamal ekonomi dan ahli politik ketika ini. Inilah puncanya yang
menyebabkan banyak bukit-bukau terpaksa menjadi mangsa penggondolan, sehingga
berlakulah banjir kilat, gempa bumi dan sebagainya.
Namun, sekiranya
diteliti dengan lebih mendalam, pengamal ekonomi berkenaan tidak akan dapat
melaksanakan tugas itu sekiranya ahli politik tidak meluluskannya. Inilah
hubung kait antara pengamal ekonomi dan ahli politik.
Timbul pula persoalan,
adakah sekiranya diberikan kepemimpinan kepada pengamal ekonomi Islam dan ahli
siasah Islam, maka akan hilanglah hasrat sesetengah pihak untuk melihat
pembangunan terus dipertingkatkan? Hal inilah perlu difahami oleh semua pihak.
Perlu diketahui bahawa Islam tidak menghalang kemajuan, tetapi Islam hanya
membatasi tindakan manusia dari terus berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara.
Sebagai
contohnya, apabila sebuah pasar raya itu akan dibina, kebiasaannya pembangunan
itu akan dilihat dari sudut kukuhnya struktur tapak bangunan berkenaan, kualiti
bahan yang akan digunakan dan harga pasaran semasa serta beberapa perkara asas
yang lain. Berbeza dengan Islam, pembinaan sesebuah pasaraya itu akan dilihat
bukan hanya dari sudut fizikal, bahkan dari sudut lima maqasid syariahnya iaitu
apakah kemungkinan yang akan berlaku pada agama, diri, maruah, akal dan harta.
Begitu juga, dari sudut alam sekitarnya.
Inilah bezanya
antara siasah akal dan siasah agama. Siasah akal hanya mementingkan keuntungan
duniawi dan kepentingan diri, tetapi siasah agama lebih mementingkan kepada
keuntungan ukhrawi dan kepentingan orang lain. Prioriti diri diletakkan lebih
bawah berbanding dengan prioriti orang lain. Pembangunan rohani adalah lebih
penting dari pembangunan fizikal. Apabila siasah agama tidak dilaksanakan, akan
terbukalah ruang kehancuran dunia. Ia akan bermula dengan kehancuran dari
individu, kepada masyarakat, seterusnya negara.
Perkara ini telah diperkukuhkan lagi
melalui pandangan Abdul Qadir Djaelani dalam karyanya Negara Berdaulat Dalam Perspektif Islam. Beliau mengatakan bahawa,
ramai di kalangan masyarakat Islam yang tinggal di bawah pemerintahan
non-Muslim seperti Morocco, Tunisia dan Libya mudah terpengaruh dengan budaya
dan ideologi mereka sehinggakan sanggup mengikuti kelakuan dan sikap mereka.
Begitu juga, pandangan Muhammad Iqbal
yang mengatakan bahawa Eropah hari ini adalah penghalang terbesar bagi kemajuan
ketamadunan umat manusia. Kemajuan
masyarakat dapat berkembang apabila timbulnya kesejahteraan politik dan
kestabilan ekonomi. Kegagalan Barat perlu diisi semula dengan mengikut garis
panduan yang ditetapkan oleh Islam.
Kesimpulannya, sistem siasah agama dan
sistem siasah akal adalah berbeza kerana sistem siasah agama berdasarkan sunnah
dan wahyu, sedangkan sistem siasah akal berdasarkan ciptaan manusia yang
membentuk ideologi kapitalis, komunisme dan sosialisme.
( Artikel ini diterbitkan dalam Berita Harian ruangan Agama bertajuk Siasah bukan sekadar aspek politik kenegaraan pada 27 April 2012)
No comments:
Post a Comment