Monday, 7 July 2014

Gaza, Kemuafakatan Politik Teras Kekuatan Ummah

Mohd Syakir Mohd Rosdi
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang

Kelemahan sentiasa dinilai dan dikomen. Di sebalik komen itu tiada rasa kebersamaan ke arah menggunakan idea berkenaan untuk dipraktikalkan bagi mengatasi kelemahan yang timbul. Kesannya, umat Islam akan berada dalam keselesaan. Keselesaan itu akan membawa kepada ketidakprihatinan kepada orang lain. Inilah antara perkara utama penyebab berlakunya perbezaan dalam diri orang Islam dengan orang Islam yang lain. Hal ini tidak seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dalam satu Hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir, Nabi SAW pernah bersabda: “Perumpamaan orang-orang Mukmin dalam hal kasih sayang bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan maka sekujur badan akan merasakan panas dan demam (Riwayat Muslim).

Dalam hal ukhwah ini, umat Islam selalu mempersalahkan pihak penjajah kerana melaksanakan dasar pecah perintah. Selain itu, Khuzwatul Fikr (Serangan pemikiran) yang dicanang oleh penceramah di serata corong speaker juga telah berjaya menggerunkan umat Islam. Keadaan itu sebaliknya tidak memberikan apa-apa makna kepada perubahan umat Islam ke arah yang lebih baik. Umat Islam seolah-olah bersyukur berada di bawah “serangan pemikiran” yang dicatur oleh musuh Islam atas sebab keselesaan tadi.

Keteguhan Para Ulama dalam Mempertahankan Nilai Keintelektualan

Mohd Syakir Mohd Rosdi
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang
Emel: mohdsyakirmohdrosdi@gmail.com

Dalam dunia akademik, perbincangan tentang sesuatu polemik politik, ekonomi dan sosial sudah menjadi perkara lumrah. Pertumbuhan dunia keintelektualan ini sebenarnya menyangkut hal berkaitan kebebasan menyuarakan pandangan hasil dari kajian masing-masing. Pertumbuhan ini tidak sama dengan pertumbuhan (growth) dari segi ekonomi atau politik. Sekiranya diteliti, perkembangan ekonomi diukur dari sudut bercambahnya pelaburan, tingginya tingkat kewangan sesebuah negara, sikitnya nilai hutang, bebas dari kemiskinan dan sebagainya. Manakala peningkatan politik semasa pula diukur dari sudut betapa kemasnya pemerintahan negara yang terbaik dari segi pengurusan dan pentadbiran, rakyat tidak berasa terasing, bertambahnya kerusi di parlimen dan sebagainya.

Sebenarnya, proses pertumbuhan keintelektualan akademik telah lama berlaku iaitu semenjak lahirnya sebuah tamadun Islam di Andalusia dan Cordova. Sewaktu berlakunya perkembangan keilmuan di dunia Islam, ketika itu berlaku sebaliknya di dunia Eropah yang dikenali sebagai zaman kegelapan. Selepas timbulnya kesedaran, berlakulah kebangkitan semula rakyat Eropah yang dikenali dengan zaman Renaissance. Sejarah ringkas tersebut membuktikan bahawa setiap daripada tamadun itu terbina adalah hasil daripada pertumbuhan keintelektualan akademiknya.

Pengaruh beberapa tokoh terkenal seperti Plato, Aristotle, Ibn Khaldun dan sebagainya telah meresapi dalam pemikiran tokoh cendekiawan ketika itu. Kesannya telah sedikit mencorakkan ketamadunan ekonomi, politik dan sosial. Ketamadunan itu telah berjaya mengubah masyarakat ke arah komuniti berilmu selaras dengan perkembangan politik semasa.

Al-Qur'an Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Politik Semasa

Mohd Syakir Bin Mohd Rosdi
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Diterbitkan dalam Berita Harian pada 9 Mei 2012

Ali Yafie dalam karyanya Islam dan Masalah Kemiskinan pernah mengatakan bahawa, dalam merungkai permasalahan pembangunan sosioekonomi menurut al-Qur'an boleh disimpulkan kepada empat perkara. Pertama, ajaran al-Qur'an mendorong pembangunan sosioekonomi. Al-Qur'an mendorong produktiviti masyarakat dalam bidang pertanian, perindustrian, perniagaan dan semua perkara. Tujuannya supaya pengeluaran mampu ditingkatkan seperti apa yang dikehendaki dalam menegakkan kehidupan.

Manusia mempunyai martabat yang layak baginya, disebabkan Allah SWT telah memuliakannya di dalam al-Qur'an seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 70: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”.

Allah SWT memuliakan anak Adam kerana mempunyai akal yang mampu untuk meningkatkan produktiviti supaya dapat mengukuhkan kemaslahatan ummah. Kemaslahatan tidak akan dapat dibina melainkan mempunyai batas moral dan etika pembangunan yang tertentu selaras dengan apa yang diajarkan dalam Islam.