Monday, 7 July 2014

Al-Qur'an Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Politik Semasa

Mohd Syakir Bin Mohd Rosdi
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Diterbitkan dalam Berita Harian pada 9 Mei 2012

Ali Yafie dalam karyanya Islam dan Masalah Kemiskinan pernah mengatakan bahawa, dalam merungkai permasalahan pembangunan sosioekonomi menurut al-Qur'an boleh disimpulkan kepada empat perkara. Pertama, ajaran al-Qur'an mendorong pembangunan sosioekonomi. Al-Qur'an mendorong produktiviti masyarakat dalam bidang pertanian, perindustrian, perniagaan dan semua perkara. Tujuannya supaya pengeluaran mampu ditingkatkan seperti apa yang dikehendaki dalam menegakkan kehidupan.

Manusia mempunyai martabat yang layak baginya, disebabkan Allah SWT telah memuliakannya di dalam al-Qur'an seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 70: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”.

Allah SWT memuliakan anak Adam kerana mempunyai akal yang mampu untuk meningkatkan produktiviti supaya dapat mengukuhkan kemaslahatan ummah. Kemaslahatan tidak akan dapat dibina melainkan mempunyai batas moral dan etika pembangunan yang tertentu selaras dengan apa yang diajarkan dalam Islam.

Kedua, Islam telah memberikan kebebasan kepada manusia untuk memiliki harta dan menikmatinya. Ia sebagai memenuhi kerangka kehendak manusia supaya menjamin martabat kemanusiaan dan mengelakkan pembaziran. Ini penting supaya fungsi sosial tidak akan terabai dalam proses perlumbaan mengumpul harta kekayaan itu sendiri. Perkara ini juga diperbahaskan oleh Muhammad Syukri Salleh dalam karyanya 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam.

Beliau telah memberikan justifikasi mengapa manusia harus berlepas tangan dari sistem bukan Islam kepada sistem Islam. Begitu juga, seharusnya menolak sistem yang hanya memasukkan kalimah Islam saja tetapi pengoperasiannya masih menggunakan sistem Barat.

Antara perkara yang menjadi fokus beliau ialah rezeki dan kekuasaan itu adalah hak milik mutlak Allah SWT. Sekiranya diteliti melalui saluran keimanan, sebenarnya, rezeki itu telah pun ditetapkan di Loh Mahfuz oleh Allah SWT kepada setiap hambaNya. Sekiranya semut di dalam batu pun masih dapat hidup dengan rezeki yang telah ditetapkan kepadanya, jadi, kenapa masih ada yang risau mengenai sumber rezekinya? Yang penting adalah usaha berterusan dan iringilah dengan tawakal.

Tetapi, justifikasi ini saja tidak cukup untuk membuktikan betapa perlunya kita tidak perlu terlalu bergantung hanya kepada harta kekayaan sebaliknya kembali melihat akan kebesaran Allah SWT.

Muhammad Syukri Salleh telah melihat bahawa keyakinan Barat terhadap kehendak manusia yang tidak terhad tetapi perlu menghadapi sumber alam yang terhad telah pun mengghairahkan mereka untuk mengumpulkan harta secukupnya. Ini telah menyebabkan berlakunya ketidakstabilan pengurusan kesaksamaan harta negara.

Dalam Islam terdapat konsep yang dinamakan qanaah (merasa cukup) dan barakah (berkat). Dengan sifat berkenaan, walaupun sedikit harta yang ada, tetapi cukup untuk menampung keperluan seisi keluarga. Mereka hidup dengan tenang tanpa perlu memikirkan penjagaan harta. Sepertimana kata Saidina Ali KW, “Sekiranya kita mempunyai ilmu, ilmu akan menjaga kita, tetapi sekiranya kita mempunyai harta, kita yang perlu menjaga harta”.

Ketiga, Islam sentiasa menjaga kesejahteraan sosial. Kesejahteraan sosial ini terbahagi pula kepada dua perkara iaitu dari segi rohani dan jasmani. Dari segi rohani, Islam amat menekankan umatnya supaya menitikberatkan soal pendidikan dan keilmuan. Ilmu mampu meningkatkan nilai taqwa seseorang seperti mana yang diperkatakan oleh Imam Az-Zarnuji dalam kitabnya Ta’lim Al-Muta’lim. Kemuliaan seseorang manusia di sisi Allah SWT tidak diukur dengan banyaknya harta dan tingginya pangkat seseorang, tetapi diukur dengan tingginya nilai taqwa.

Seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat ke 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Pemahaman terhadap isi kandungan al-Quran juga penting bagi meningkatkan keyakinan sewaktu menguruskan ekonomi politik negara. Kepakaran dalam bidang ekonomi politik juga diperlukan untuk menjadi bekal yang penting bagi berhadapan dengan persaingan yang hebat dari pihak Barat.

Pemahaman mengenai bidang Ekonomi Islam dan Politik Islam secara konsep dan falsafahnya harus diperdalamkan. Justeru, menjadi kewajipan kepada kita untuk menuntut ilmu sama ada ilmu fardhu ain atau pun ilmu fardhu kifayah. Ia selaras dengan kehendak Islam seperti mana terdapat dalam satu hadis yang berkaitan hal menuntut ilmu seperti, “Tuntutlah ilmu kerana menuntut ilmu itu wajib bagi muslimin dan muslimat”.

Untuk memiliki keyakinan dan kesungguhan dalam membina ekonomi politik Islam ini, tanamkanlah dalam hati nilai takwa yang tinggi. Sesungguhnya dengan ketakwaan itu akan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Hampirnya Allah SWT dengan diri kita akan memudahkan Allah SWT menjadi penyelesai dalam setiap permasalahan dalam konteks ekonomi politik semasa.

Seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 2-3: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”.

Untuk itu, Islam juga amat mementingkan soal ‘Ubudiyah (penghambaan) dalam setiap perkara yang ingin dilaksanakan. ‘Ubudiyah bermaksud rasa penghambaan. Dalam erti kata yang lain meyakini bahawa kita sebagai hamba Allah SWT.

Soalnya, apakah kepentingan ‘Ubudiyah ini dalam konteks pelaksanaan ekonomi politik Islam. Jawapannya, bolehlah dikategorikan kepada dua perkara. Pertama, perencanaan ekonomi politik Islam adalah hasil rujukan kepada sumber-sumber dari al-Quran dan al-Hadith. Sumber berkenaan sudah pasti berasal daripada Allah s.w.t. Jadi, untuk memudahkan pelaksanaan ekonomi politik Islam ini seharusnyalah pelakunya menyakini bahawa keberkatan pelaksanaannya adalah bergantung kepada redha Allah SWT.

Kedua, ekonomi politik Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna melainkan pelakunya harus melaksanakan seluruh ajaran Islam. Ia adalah syarat di dalam Islam sebagai hamba Allah s.w.t untuk diterima segala amalan yang lain.

Sebagai contoh, sekiranya Ahmad pelaksana ekonomi politik Islam, bertungkus lumus melaksanakan perancangan ekonomi politik menurut syariat Islam, tetapi dalam masa yang sama meninggalkan kewajipan melaksanakan syariat utama sebagai hamba Allah SWT iaitu meninggalkan solat fardhu. Jadi, apakah kepentingan Ahmad di hadapan Allah SWT, untuk memastikan Allah SWT akan memudahkan segala perancangan itu. Oleh yang demikian, pelaksanaan fardhu Ain dan Fardhu kifayah harus berjalan seiring. Lihatlah, betapa Islam itu amat teliti dalam soal melaksanakan sesuatu urusan.

No comments:

Post a Comment