Mohd
Syakir Mohd Rosdi
Pusat
Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti
Sains Malaysia
11800
Pulau Pinang
Emel: mohdsyakirmohdrosdi@gmail.com
Dalam
dunia akademik, perbincangan tentang sesuatu polemik politik, ekonomi dan
sosial sudah menjadi perkara lumrah. Pertumbuhan dunia keintelektualan ini
sebenarnya menyangkut hal berkaitan kebebasan menyuarakan pandangan hasil dari
kajian masing-masing. Pertumbuhan ini tidak sama dengan pertumbuhan (growth)
dari segi ekonomi atau politik. Sekiranya diteliti, perkembangan ekonomi diukur
dari sudut bercambahnya pelaburan, tingginya tingkat kewangan sesebuah negara,
sikitnya nilai hutang, bebas dari kemiskinan dan sebagainya. Manakala
peningkatan politik semasa pula diukur dari sudut betapa kemasnya pemerintahan
negara yang terbaik dari segi pengurusan dan pentadbiran, rakyat tidak berasa
terasing, bertambahnya kerusi di parlimen dan sebagainya.
Sebenarnya,
proses pertumbuhan keintelektualan akademik telah lama berlaku iaitu semenjak
lahirnya sebuah tamadun Islam di Andalusia dan Cordova. Sewaktu berlakunya
perkembangan keilmuan di dunia Islam, ketika itu berlaku sebaliknya di dunia
Eropah yang dikenali sebagai zaman kegelapan. Selepas timbulnya kesedaran,
berlakulah kebangkitan semula rakyat Eropah yang dikenali dengan zaman
Renaissance. Sejarah ringkas tersebut membuktikan bahawa setiap daripada tamadun
itu terbina adalah hasil daripada pertumbuhan keintelektualan akademiknya.
Pengaruh
beberapa tokoh terkenal seperti Plato, Aristotle, Ibn Khaldun dan sebagainya
telah meresapi dalam pemikiran tokoh cendekiawan ketika itu. Kesannya telah
sedikit mencorakkan ketamadunan ekonomi, politik dan sosial. Ketamadunan itu
telah berjaya mengubah masyarakat ke arah komuniti berilmu selaras dengan
perkembangan politik semasa.
Sejarah
perkembangan politik semasa di era ketamadunan Islam dan era kejatuhan Barat telah
mempamerkan betapa kecerdikan sosial dan kepintaran mengatur strategi politik telah
memainkan peranan penting dalam mencorak pemikiran ilmuan negara. Tambahan
pula, terdapat para intelek seperti Imam Ahmad Ibnu Hanbal rh, Imam al-Syafi’iy
rh dan sebagainya yang begitu teguh mempertahankan prinsip kebenaran ilmu itu telah
berjaya mempamerkan karekter kedudukan sebenar prinsip para intelek.
Sebagai
contoh, Imam Ahmad Ibnu Hanbal terpaksa berhadapan dengan penjara bagi
memastikan kesucian al-Qur’an dan ketinggian Islam terus terpelihara. Ketika
itu, pemerintahan pada zaman ‘Abbasiah tersebut berfahaman Muktazilah. Golongan
tersebut telah menyatakan bahawa al-Qur'an itu jadid, tetapi dibantah oleh Imam
Ahmad dengan mengatakan bahawa al-Qur'an itu Qadim.
Semasa
pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, beliau pernah berkata, “Pegawai mana
sahaja yang menjauhi kebenaran dan tidak beramal dengan al-Qur’an dan
al-Sunnah, tidak perlu kalian mentaatinya. Urusannya saya serahkan kepada
kalian sehingga kebenaran dikembalikan dan ia pun tercela’’. Inilah kepimpinan
yang menegakkan kebenaran. Kepimpinan sebegini selagi tidak bercanggah dengan
kebenaran adalah harus didokong.
Sejarah juga telah memaparkan
pembuktian bagaimana tingginya nilai keilmuan yang dipegang oleh para ulama
walaupun terpaksa berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Sa’id bin Jubair
adalah contoh terbaik untuk dijadikan tauladan kepada semua intelektual dalam
menegakkan kebenaran. Beliau merupakan seorang intelektual agama dari kalangan tabi’in.
Bapa beliau adalah Jubair bin Awwam r.a. Oleh kerana beliau selalu mengeluarkan
pandangan yang bercanggah dengan pihak pemerintah, maka beliau telah ditangkap
untuk menghadap Gabenor Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi.
Banyak persoalan yang ditanya oleh
Hajjaj kepada Sa’id. Namun Sa’id berjaya menjawabnya dengan tenang. Hajjaj
menawarkan harta kepada Sa’id, tetapi Sa’id menolaknya dengan berkata, “Wahai Hajjaj! Apakah faedahnya harta yang
demikian itu untuk menghadapi bencana akhirat nanti? Dengan apa pun caranya
engkau menyeksa saya, nanti di akhirat engkau akan terima balasannya dengan
lebih sakit dan lebih pedih lagi.” Hajjaj berkata lagi, “Apakah engkau tidak suka memohon keampunan
saya? Saya sedia untuk memaafkanmu”. Sa’id dengan tegas berkata, “Lebih baik saya memohon keampunan Allah
SWT sahaja”.
Hajjaj begitu marah dan
memerintahkan kepada pegawainya supaya membunuh Sa’id. Sa’id tersenyum
mendengarnya. Maka Hajjaj berkata, “Mengapa
kamu tersenyum?”. Jawab Sa’id, “Saya
hairan, mengapa engkau berani melawan Allah SWT”. Sa’id segera
ditelentangkan dan wajahnya menghadap ke langit. Mulut Sa’id sentiasa
terkumat-kamit menyebut nama Allah SWT. Melihat keadaan itu, Hajjaj
memerintahkan supaya Sa’id dibalikkan menghadap tanah. Sa’id segera membaca
surah al-An’am ayat 79 yang bermaksud, “Sesungguhnya aku menghadapkan diriku
kepada Allah s.w.t yang menciptakan langit dan bumi dengan condong kepada agama
yang benar dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah”.
Setelah membaca ayat tersebut, Sa’id
memalingkan wajahnya ke arah kiblat. Melihat keadaan itu bertambah kuatlah
kebencian Hajjaj dan segera memerintahkan pengawal supaya memalingkan wajahnya
ke arah lain. Begitulah seterusnya sehingga leher Sa’id dipenggal.
Sebelum dipenggal, Sa’id sempat
berdoa, “Ya Allah! Semoga saya ini adalah
orang terakhir yang dibunuh oleh Hajjaj. Setelah hari ini, janganlah dibuka
lagi kesempatan bagi Hajjaj untuk berbuat begini terhadap hambaMu”.
Mendengar doa Sa’id itu, Hajjaj hanya tertawa. Selepas satu minggu kematian
Sa’id, Hajjaj ditimpa penyakit gila dan dia mati dalam keadaan yang mengerikan.
Begitulah contoh kehidupan ulama besar yang tidak terlepas dari berbagai cubaan serta seksaan hanya semata-mata untuk mempertahankan prinsip kebenaran ilmu tersebut. Keteguhan prinsip tersebut mencerminkan betapa pentingnya pemerintah perlu menghormati idea dan pemikiran keintelektualan.
Dari
sejarah yang lampau dapat dipelajari bahawa terdapat dua kelompok intelektual,
iaitu:
Pertama,
intelek materialisme iaitu ilmuan yang hanya memerhatikan pandangan dunia sama
ada secara zahir atau rohani. Tertegaknya keintelektualan mereka hanya melalui bantuan pihak berkuasa atau pun dengan bantuan pihak-pihak tertentu.
Mereka bertindak sebagai badan yang sentiasa mempertahankan kedudukan para
pemegang jawatan selaras dengan misi dan visi golongan tertentu tanpa
menghiraukan al-haqq dan al-batil dalam merencanakan sesuatu
keputusan. Jelas di sini pendirian mereka hanyalah sekadar bertindak sebagai agen melembutkan pemikiran masyarakat supaya tidak mempertikai sebarang keputusan golongan tertentu.
Kedua,
intelek spiritualisme yang lahir hasil dari pemahaman benar terhadap tuntutan
menjaga dunia ini dari kejahiliyahan. Mereka sedar dengan tanggungjawab untuk
memakmurkan bumi. Namun, mereka bukanlah seorang kontraktor yang mampu membina
sebuah bangunan pencakar langit yang tersergam indah sebagai mercu kemakmuran
negara, tetapi mereka adalah arkitek yang sentiasa berfikir untuk membina
jiwa-jiwa yang kosong dari hidayah Tuhan. Dalam memperjuangkan dunia intelek
ini, mereka tidak hiraukan sesiapa pun untuk terus menyebarkan fikrah
al-haqq (pemikiran kebenaran). Kemuliaan diri mereka tidak terbina hasil
dari pengaruh orang atasan, tetapi datangnya dari Allah SWT. Ia adalah hasil
keteguhan perjuangan mereka.
Integriti
dalam dunia akademik perlu terus dipertahankan. Ia selaras dengan prinsip untuk
memastikan objektiviti yakni sikap tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan
terus dilestarikan. Perjuangan keilmuan hanya berpaksikan kebenaran, amanah
wajib dilaksanakan dan kebenaran harus dijulang, walaupun pahit terpaksa
ditelan. Oleh itu, sirah Rasulullah SAW. telah merakamkan kejayaan Baginda
bersama para sahabat merentas benua demi benua menjulang panji kebenaran.
Sepertimana kata Saidina Ali kw, “Kebenaran
yang tidak bersistem akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang bersistem”.
Sebagai rumusannya, ambillah
semangat Sa’id, Imam Syafie, Imam Ahmad dan seumpamanya untuk memartabatkan
kembali dunia keintelektualan supaya nilai intelek itu dianggap seperti mutiara
di lautan bukannya seperti batu-batu pasir yang bertaburan di serata tempat.
Semangat ‘amanah terhadap ilmu’ harus terus disuburi di setiap dada para
intelektual agar nilai ilmu itu tidak dipandang rendah oleh masyarakat
sekeliling.
No comments:
Post a Comment