Monday, 7 July 2014

Gaza, Kemuafakatan Politik Teras Kekuatan Ummah

Mohd Syakir Mohd Rosdi
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang

Kelemahan sentiasa dinilai dan dikomen. Di sebalik komen itu tiada rasa kebersamaan ke arah menggunakan idea berkenaan untuk dipraktikalkan bagi mengatasi kelemahan yang timbul. Kesannya, umat Islam akan berada dalam keselesaan. Keselesaan itu akan membawa kepada ketidakprihatinan kepada orang lain. Inilah antara perkara utama penyebab berlakunya perbezaan dalam diri orang Islam dengan orang Islam yang lain. Hal ini tidak seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dalam satu Hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir, Nabi SAW pernah bersabda: “Perumpamaan orang-orang Mukmin dalam hal kasih sayang bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan maka sekujur badan akan merasakan panas dan demam (Riwayat Muslim).

Dalam hal ukhwah ini, umat Islam selalu mempersalahkan pihak penjajah kerana melaksanakan dasar pecah perintah. Selain itu, Khuzwatul Fikr (Serangan pemikiran) yang dicanang oleh penceramah di serata corong speaker juga telah berjaya menggerunkan umat Islam. Keadaan itu sebaliknya tidak memberikan apa-apa makna kepada perubahan umat Islam ke arah yang lebih baik. Umat Islam seolah-olah bersyukur berada di bawah “serangan pemikiran” yang dicatur oleh musuh Islam atas sebab keselesaan tadi.


Keselesaan telah melemahkan umat Islam dari terus membina kesatuan dan menolak perbezaan pendapat yang menyebabkan pecah belah. Hal inilah yang menyebabkan berlakunya pembantaian berterusan rejim Zionis terhadap Palestin. Peristiwa di Gaza terpaksa dengan senyap ditelan pahitnya. Seperti kata pepatah, ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’. Ketakutan terhadap negara besar seperti Amerika telah mendiamkan pemimpin Arab daripada mengambil tindakan terhadap Israel. Beberapa jalan perdamaian sebelum ini yang diputuskan antara Palestin dan Israel tidak pernah berlanjutan dengan keamanan dan kebahagiaan. Sebaliknya, Israel sememangnya telah terkenal dengan sikap acuh tak acuh dengan perdamaian dan akan memungkiri sebarang perdamaian yang diputuskan.

Sekiranya dirujuk kepada sirah Nabi SAW, terdapat satu peristiwa yang masyhur berkaitan perjanjian perdamaian atau pun sekarang dikenali sebagai perjanjian keamanan politik. Peristiwa itu ialah Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian yang telah termeterai itu berkuat kuasa selama 10 tahun. Namun, setelah 2 tahun perjanjian itu berlaku, beberapa pemimpin Quraisy yang tidak menyetujui perjanjian terbabit telah mencabuli perjanjian itu dengan menyertai suku Kinanah yang memilih untuk menyebelahi Mekah menyerang suku Khuza’ah yang menyebelahi Madinah. Baginda telah mengumpulkan satu angkatan tentera yang besar seramai kira-kira 10,000 orang yang terdiri daripada orang Madinah dan berbagai-bagai suku Arab, bergerak meninggalkan Kota Madinah menuju ke Mekah. Setelah itu, berlakulah pembebasan Kota Mekah daripada Jahiliyah kepada cahaya Islam yang dinamakan sebagai Fathu Mekah.

Dalam artikel ini bukannya hendak difokuskan kepada Fathu Mekah, tetapi difokuskan kepada tempoh masa dua tahun selepas perjanjian Hudaibiyah dilaksanakan. Kejayaan itu tidak akan diperolehi sekiranya dalam tempoh 2 tahun sewaktu berlaku perdamaian tidak berlaku sebarang usaha ke arah membina kejayaan itu. Menurut Umar al-Khattab, bilangan mereka yang memeluk Islam dalam tempoh dua tahun selepas Hudaibiyah mengatasi sekali ganda bilangan mereka yang berbuat demikian sejak Islam mula disebarkan. Ini bermakna,  2 tahun tempoh yang ada itu tidak disia-siakan oleh Nabi SAW. Baginda telah membina kekuatan dakwah dan berjaya mengelak berlakunya pertelingkahan antara dua pihak Islam yang dapat melemahkan kekuatan umat Islam. Baginda juga telah menguatkan hubungannya dengan suku Arab, orang Quraisy, orang Yahudi dan negara luar Arab.

Sekiranya dilihat kepada gencatan senjata dan perdamaian antara Palestin dan Israel, ianya telah berlaku banyak kali. Daripada tanah Palestin itu besar sehinggalah semakin kecil sehingga ke hari ini. Gencatan senjata itu hanya dilihat sebagai sandiwara Israel saja bagi mengabui mata umat Islam daripada strategi Israel seterusnya. Gencatan senjata atau sebarang perdamaian tidak boleh ditolak tetapi penerimaannya harus berstrategi. Gencatan senjata yang diterima perlu dilihat ke arah persediaan umat Islam dalam menghadapi peperangan seterusnya. Inilah yang disebut sebagai kewaspadaan. Umat Islam tidak boleh menolak sebarang kemungkinan dan harus berfikir bahawa pada suatu hari nanti negara bermajoritikan Islam di mana pun akan diserang.

Gencatan senjata Palestin dan Israel yang baru termeterai pada 21/11/12 pada tahun ini setelah 8 hari dibantai oleh Israel hanya dilihat seperti permainan play station saja, bila-bila masa saja pihak Israel boleh memainkan semula play station itu tanpa ada sekatan yang mampu menahannya. Selama 8 hari terbabit, seramai hampir 150 orang telah syahid berbanding hanya beberapa orang saja yang mati di Israel. Berdasarkan angka ini, keadilan terhadap umat Islam tetap tidak terbela. Apakah gencatan senjata yang dilakukan ini memberikan hasil yang sewajarnya kepada pengorbanan rakyat Palestin?

Di sebalik persoalan itu, gencatan senjata ini perlu untuk mengelak berlakunya peningkatan angka kematian rakyat Palestin. Tahniah kepada Presiden Mesir sekarang iaitu Morsi kerana berjaya melakukan gencatan senjata ini. Di sebalik kejayaan Morsi ini, adakah Israel takut kepada Mesir? Sekiranya hanya Mesir yang memainkan peranan ini kemungkinan gencatan senjata ini tidak akan bertahan lama. Sebabnya ada di belakang Israel itu sokongan yang kuat daripada Amerika Syarikat. Fokus yang cuba diutarakan ialah selagi mana tidak ada kesatuan di antara kepemimpinan Arab khususnya dan kepemimpinan OIC umumnya, selagi itulah musuh Islam akan sentiasa mempermainkan umat Islam. Begitu juga, persidangan D8 yang diadakan juga harus menemukan kata sepakat untuk mempertahankan dan menguatkan umat Islam.

Justeru, kepemimpinan sedia ada ini perlu diselaraskan perspektifnya ke arah pembangunan Islam yang sebenarnya. Pembangunan bukan hanya dari segi material, malah dari segi spiritual. Selagi mana, mereka tidak mampu menguatkan lagi kekuatan dalaman maka tidak akan dapat melahirkan kekuatan lahiriah. Seperti kata ulama, ‘Binalah negara al-Quran dalam diri kamu, maka akan terbinalah di negara kamu’. Seperti hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Siapa yang menyelesaikan masalah seorang Mukmin di dunia maka Allah SWT akan menyelesaikan masalahnya di akhirat, siapa yang memudahkan orang yang kesulitan maka Allah SWT akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat, siapa yang menutupi aib saudaranya maka Allah SWT akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat, dan Allah SWT sentiasa akan menolong hambanya selama ia menolong saudaranya” (Riwayat Muslim).

Seperti firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 103: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”.


Sekiranya kekuatan ini telah terbina, sebarang gencatan senjata yang terlaksana tidak akan mudah dipermainkan oleh orang kafir. 

No comments:

Post a Comment