Friday, 18 December 2015

Seni Ilustrasi Komik


Video di atas adalah contoh video dalam bentuk ilustrasi komik. Ilustrasi komik ada seni tersendiri sehingga menarik perhatian pelbagai peringkat golongan dalam masyarakat supaya lebih mesra didekati dengan dakwah Islam. Pendekatannya menggunakan ilustrasi berbentuk kartun dan disulam dengan ayat-ayat dakwah.

Walaupun kartun banyak diminati oleh golongan kanak-kanak, saya yakin ia tidak hanya ditumpukan kepada golongan itu, malah ia ditumpukan kepada setiap peringkat dalam masyarakat termasuklah golongan dewasa. Kaedah ini banyak dihighlightkan dalam TV. Selaras dengan perkembangan ini, pelajar saya Mohd Hadzril sedang melakukan kajian dalam disertasi peringkat Sarjana dengan tajuk, "Seni Ilustrasi Komik Dari Perspektif Kesenian Islam". Moga kajian ini dapat membantu para pelukis menganalisis pendekatan yang mampu mendominasi minda masyarakat dengan dakwah Islam.

Kata-kata Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur


Friday, 3 July 2015

Nuzul Al-Qur'an: Kaedah Aturan Ilmu Dalam Perkembangan Peribadi Manusia


Pengaturan ilmu dalam al-Qur'an dijelaskan melalui kaedah penurunan al-Qur'an. Kaedah penurunan al-Qur'an ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Buruj ayat 21 seperti berikut: 

Maksudnya : “Bahkan ia al-Quran yang mulia. Di papan yang terpelihara (Luh Mahfuz)”.

Dalam ayat yang lain ada yang turut membincangkan mengenai penurunan al-Qur'an. Ayat-ayat tersebut adalahseperti berikut:

Maksudnya : “Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar.”
(Surah al-Qadar:1)

Maksudnya : “Al-Quran ini Kami turunkan secara beransur-ansur supaya engkau bacakan kepada manusia dengan cara perlahan-lahan dan Kami turunkannya sedikit-sedikit.” 
(Surah al-Isra’:106)

Terdapat dua kaedah penurunan al-Qur'an. Pertama, diturunkan sekaligus; dan kedua, diturunkan secara beransur-ansur. Penurunan sekaligus berlaku daripada Allah SWT ke Loh al-Mahfuz. Kemudian, daripada Loh al-Mahfuz ke Baitul Izzah. Penurunan secara beransur-ansur pula berlaku selama 23 tahun iaitu daripada Baitul Izzah kepada Nabi SAW secara beransur-ansur. Setelah lengkapnya penurunan al-Qur'an secara beransur-ansur, maka al-Qur'an telah dibukukan secara rasminya pada zaman Saidina Usman bin Affan. 

Apa yang boleh dikaitkan aturan penurunan ini dengan kehidupan manusia? 

Al-Qur'an telah melalui beberapa fasa untuk melengkapkan panduan untuk manusia. Fasa-fasa ini tidak diturunkan dengan tidak sengaja tanpa berdasarkan pengajaran terhadap isu-isu tertentu. Misalnya Surah al-Lail diturunkan atas sebab sifat kedermawan para sahabat. 

Ada beberapa riwayat yang memberitakan asbabun nuzul (sebab-sebab turunnya) surah al-Lail, diantaranya dari Ibnu Hatim, al-Hakim dan Al-Bazzar. Dalam riwayat Ibnu Hatim dikatakan bahwa surah al-Lail turun berkenaan pemilik pohon kurma yang bakhil. Diceritakan bahwa pemilik pohon kurma tersebut memiliki pohon yang mayangnya menjulur hingga ke rumah tetangganya yang fakir dan memiliki banyak anak. Tiap kali berbuah, ia memetik hasilnya dari rumah tetangganya, namun bila kurma tersebut jatuh dan dipungut oleh anak-anak tetangganya yang fakir, ia segera merampasnya. Bahkan yang sudah masuk ke mulut anak-anak itu juga dipaksa dikeluarkannya. Kemudian, orang fakir itu mengadukan hal itu kepada Nabi Muhammad SAW yang berjanji akan menyelesaikan masalahnya. 

Nabi kemudian bertemu dengan pemilik kurma dan bersabda, "Berikanlah kepadaku pohon kurma yang mayangnya menjulur ke rumah si Anu, dan bahagianmu sebagai gantinya pohon kurma di syurga." Pemilik pohon kurma itu berkata, "Hanya sekian tawaran tuan? Aku mempunyai banyak pohon kurma dan pohon kurma yang diminta itu paling baik buahnya". Kemudian pemilik pohon kurma itu pergi. Pembicaraan itu didengar oleh seorang dermawan yang langsung datang kepada Nabi dan berkata, "Apakah tawaran tuan itu berlaku juga bagiku, jika pohon kurma itu telah menjadi milikku?" Nabi menjawab "Ya." Orang itu kemudian menemui pemilik pohon kurma. Pemilik pohon kurma itu berkata, "Apakah engkau tahu bahawa Muhammad SAW menjanjikan pohon kurma di syurga sebagai ganti pohon kurma yang mayangnya menjulur ke rumah tetanggaku? Dan bahawa aku telah mencatat tawarannya, akan tetapi buahnya sangat mengagumkan, padahal aku banyak mempunyai pohon kurma, dan tidak ada satu pun pohon yang selebat itu." 

Orang dermawan itu berkata, "Apakah kau mau menjualnya." Ia menjawab, "Tidak, kecuali apabila ada orang yang sanggup memenuhi keinginanku, akan tetapi pasti tidak akan ada yang sanggup." Dermawan itu berkata lagi, "Berapa yang engkau inginkan?" Ia berkata, "Aku inginkan empat puluh pohon kurma." Ia pun terdiam kemudian berkata lagi, "Engkau minta yang bukan-bukan, baik aku berikan 40 pohon kurma kepadamu, dan aku minta saksi jika engkau benar mau menukarnya." Ia memanggil sahabat-sahabatnya untuk menyaksikan penukaran itu. Dermawan itu pun menghadap kepada Nabi dan berkata, "Ya Rasulullah! Pohon kurma itu telah menjadi milikku dan akan aku serahkan kepada tuan". Nabi Muhammad kemudian menemui fakir itu, "Ambillah pohon kurma ini untukmu dan keluargamu". Kemudian turun seluruh surah al-Lail yang membezakan kedudukan dan akibat orang yang bakhil dengan orang dermawan.

Riwayat-riwayat lain menyebutkan bahawa sebahagian besar isi surah al-Lail turun berkenaan kedermawanan Abu Bakar. Al-Hakim menyebutkan bahawa ayat 5 hingga ayat terakhir surah ini turun berkenaan dengan kedermawaan Abu Bakar yang memerdekakan hamba-hamba yang lemah. Sementara riwayat Ibnu Hatim yang bersumberkan dari Urwah menyebutkan Abu Bakar telah memerdekakan 7 hamba-hamba yang disiksa majikannya kerana beriman kepada Allah sehingga turun ayat 17 hingga 21 surah ini berkenaan kedermawaannya. Riwayat lain juga menyebutkan bahawa ayat 19 hingga 21 surah ini turun berkenaan dengan kedermawaan Abu Bakar.

Manifestasi terhadap kehidupan manusia yang diambil daripada al-Qur'an terdapat dalam tiga perkara. Pertama, kaedah penurunan; kedua, pembukuan al-Qur'an; dan ketiga, penetapan ayat-ayat al-Qur'an. Bagi yang pertama iaitu kaedah penurunan al-Qur'an, ia lebih terkait dengan kaedah kedua iaitu penurunan secara beransur-ansur yang menunjukkan manusia merupakan makhluk yang lemah. Manusia tidak dapat menerima sekaligus sesuatu ilmu itu melainkan melalui kaedah yang bertahap. Peribadi manusia juga dibentuk secara bertahap. Berdasarkan itu, melalui pengalaman pendekatan dakwah, tidak terlepas harus melalui kaedah ini. Tidak boleh tergesa-gesa dalam mencapai sesuatu matlamat. Yang memberi kejayaan bukan manusia, sebaliknya Allah SWT. 

Bagi yang kedua pula iaitu pembukuan al-Qur'an, sejarah zaman pemerintahan Usman menyaksikan keberanian Usman melakukan ijtihad untuk membukukan al-Qur'an. Walaupun proses pembukuan ini adalah bertapak dan mula difikirkan pada zaman Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar, namun yang mengambil peluang pembukuan ini ialah Khalifah Usman. Proses penyusunan ini menggunakan pelbagai pendekatan. Antaranya, melalui pengumpulan tulisan-tulisan di pelepah-pelepah pohon tamar, para huffaz dan melalui penulisan semula. Usaha-usaha ini memerlukan kepada kesungguhan dan keberanian. Sifat-sifat ini yang membentuk peribadi masyarakat ketika itu. Sifat ini dimanfaatkan oleh penentang Khalifah Usman yang bertindak membunuhnya. 

Bagi yang ketiga pula, penentuan ayat-ayat al-Qur'an adalah bermula semenjak zaman Nabi SAW lagi. Sememangnya pembawa al-Qur'an lebih memahami susunan al-Qur'an. Surah-surah di dalam al-Qur'an disusun dengan begitu baik aturannya. Setiap susunan berkait antara satu sama lain. Abstrak kepada al-Qur'an ialah Surah al-Fatihah dan kesimpulannya ialah Surah al-Nas. Maksudnya, setiap perletakkan surah-surah tersebut ada tujuannya, walaupun susunannya tidak berasaskan kepada ayat mana yang turun dahulu. 

Dengan susunan yang diwahyukan kepada Nabi SAW, maka Baginda telah melatih para sahabat untuk menjadi penghafaz al-Qur'an. Dengan usaha tersebutlah, sehingga sampai kepada Khalifah Usman, masih kekal al-Qur'an ini dengan bekal kekuatan penjagaan yang dijamin oleh Allah SWT. Sesungguhnya para sahabat adalah mereka yang paling yakin dengan janji penjagaan Allah SWT, namun mereka diajar oleh Nabi SAW untuk berusaha menghafaz agar terpelihara al-Qur'an ini. Sifat ini digalakkan sebagai pembentuk peribadi mulia. 

Daripada ketiga-tiga perkara tersebut, di sini dapat disimpulkan bahawa banyak perkara yang dapat dijadikan sebagai pencetus kepada perubahan diri para sahabat daripada sebab nuzul al-Qur'an ini. Mereka dibekalkan dengan panduan yang cukup oleh Nabi SAW. Melalui panduan inilah, terbentuk sekurang-kurangnya tiga sifat. Pertama, sifat tidak tergesa-gesa dalam memperoleh sesuatu dan sabar; kedua, sifat berani menghadapi risiko dan kesungguhan; dan ketiga, sifat usaha dan tawakal harus seiring. Dengan sifat-sifat ini menjadikan para sahabat lebih maju dalam kehidupan mereka tidak kira dari sudut ekonomi, politik dan sosial. 


Sunday, 28 June 2015

Jagalah Hati Orang Lain

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Sesunguhnya dalam tubuh badan anak Adam itu ada segumpal darah, sekiranya baik segumpal darah tersebut, maka baiklah seluruh anggotanya, sekiranya buruk segumpal darah tersebut, maka buruklah seluruh anggotanya, itulah hati".

Dalam hadith tersebut dijelaskan bahawa menjaga hati adalah suatu sikap yang baik. Sikap ini tidak dimiliki oleh semua orang. Ada yang menjaga hati untuk kebaikan. Ada yang menjaga hati untuk kejahatan. Hati mengawal seluruh tingkah laku manusia.

Terdapat dua sudut penjagaan hati. Pertama, penjagaan hati sendiri; dan kedua, penjagaan hati orang lain. Bagi yang pertama, hati ini dijaga untuk diri sendiri. Ia lebih fokus kepada menjaga kepentingan diri sendiri. Penjagaan ini mungkin untuk mendapatkan pencapaian yang baik dan pangkat yang tinggi.

Menjaga hati sendiri sebenarnya lebih sukar daripada menjaga hati orang lain. Hati mudah untuk menerima penyakit. Penyakit ini sama ada bersifat fizikal atau rohani. Sekiranya bersifat fizikal, ia boleh dirawat dengan menggunakan perubatan moden atau perubatan secara Islam. Manakala, penyakit hati yang bersifat rohani agak sukar untuk mengubatinya, melainkan ada panduan.

Apa penyakit tersebut? dan apa panduan tersebut? Penyakit tersebut seperti riya', 'ujub dan sum'ah. Riya' ialah sikap menunjuk-nunjuk melalui perbuatan. 'Ujub pula ialah merasa takjub dengan kebolehan diri sendiri. Manakala sum'ah ialah suka mengkhabarkan kepada orang lain kebaikan diri sendiri.

Ketiga-tiga penyakit hati ini sukar untuk diubati kerana ada sebahagian manusia yang tidak sedar terkenanya penyakit tersebut. Penyakit ini tidak akan dapat dikenal pasti melainkan dengan panduan. Panduan tersebut ialah al-Qur'an dan al-Hadith. Cabang kepada panduan ini lebih fokus kepada panduan tasawuf, akhlak dan ihsan.

Imam Ghazali dalam kitab Ihya' 'Ulumuddin ada menjelaskan mengenai panduan untuk menangani masalah ini. Dalam kitab Minhajul 'Abidin juga dijelaskan. Misalnya, banyak istighfar dan banyak ingat mati. Untuk lebih lanjut, para pembaca boleh merujuk kepada kitab-kitab ini.

Apabila penyakit hati secara rohani ini dapat diubati, maka dengan mudahlah akan dapat menjaga hati orang lain. Hal ini merupakan perkara kedua tumpuan dalam topik ini. Percakapan yang keluar daripada mulut selalunya berpandukan kepada hati. Apabila hati bersih, mereka tidak akan bercakap sesuatu yang kotor dan bodoh seperti yang disebut dalam hadith "Puasa itu perisai, maka janganlah bercakap perkara yang kotor dan bodoh".

Perkataan kotor dan bodoh ini terserlah dengan perbuatannya banyak bercakap perkara yang menyakitkan hati orang lain. Tidak pandai menjaga hati orang lain. Sungguh malang, kadang-kadang mereka sendiri tidak sedar mereka sedang menyakiti hati orang lain. Bercakap pula banyak, tapi satu pun tidak mendatangkan faedah. Bercakap nak tunjukkan bahawa dia tahu semua, tetapi orang lain tahu bahawa dia tak tahu.

Orang begini hanya bersifat individualistik iaitu mereka lebih suka menjaga hati sendiri daripada menjaga hati orang lain. Bersikap mempertahankan diri apabila merasa diri diperhatikan. Mereka lebih senang supaya orang dengar cakap mereka daripada mereka dengar cakap orang lain. Nampak macam boleh memimpin, tetapi sebenarnya tak pandai pun dalam urusan kepimpinan.

Fuh! Sukar kalau ada penyakit hati secara rohani ini. Tak mampu diubati melainkan dengan ilmu dan amal yang berterusan. Ilmu dan amal ini pula harus dimasukkan nilai-nilai dan kefahaman daripada ilmu tasawuf supaya dapat menjaga dan mengubati hati.

Kalau kita banyak jaga hati orang lain, Allah SWT akan jaga hati kita dan mendatangkan penjagaan hati kita daripada orang lain. Masyarakat yang mengamalkan perkara begini akan mudah untuk bermasyarakat daripada masyarakat yang bersikap hanya mementingkan hati sendiri daripada hati orang lain.

Wednesday, 17 June 2015

Kisah "Parti Baharu" di Malaysia (Bahagian 1)

Muncul isu penubuhan parti baharu di Malaysia. Isu ini boleh diteliti melalui kisahnya yang melibatkan dua kelompok. Pertama, kelompok G-18; dan kedua, kelompok PASMA. Bagi kelompok yang pertama iaitu G-18, mereka ialah kelompok yang kalah dalam muktamar PAS ke-61 baru-baru ini. G-18 ini merujuk kepada kekalahan yang melibatkan 18 orang. Mereka antaranya ialah Ustaz Ahmad Awang, Mohamad Sabu, Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar, Asmuni Awi, Dr. Mohd Hatta Ramli, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi, Mohamed Hanipa Maidin, Khalid Samad, Datuk Kamarudin Jaffar, dan Zulkifli Mohamad Omar. Penyingkiran G-18 daripada memegang jawatan dalam PAS ini adalah berdasarkan undian majoriti daripada sebahagian pemilih yang dilantik oleh ahli PAS sendiri yang kini berjumlah 1 juta ahli.

Pada malam 16 Jun 2015, G-18 ini mengadakan pula himpunan muafakat politik baharu di Muar, Johor. Setelah himpunan ini, Mohamad Sabu ditanya sama ada telah bersedia untuk menubuhkan parti baharu atau pun tidak, jawapannya ialah masih menunggu betapa kuat sokongan rakyat kepada G-18 ini.

Persoalannya, sejauh manakah kuatnya sokongan terhadap G-18 dan PASMA ini untuk menubuhkan parti baharu? Dimanakah kekuatannya? Untuk menjawab persoalan ini, Wadah sebagai badan yang mengumpulkan pimpinan-pimpinan ABIM antara yang memberi lampu hijau untuk bersedia bergabung menjadi parti baharu. Ia semakin kuat apabila hampir 3000 orang telah hadir dalam himpunan muafakat politik yang diadakan di Muar tersebut. Kehadiran seramai ini seolah-olah mempamerkan masih ada simpati kepada G-18 ini.


Selain itu, dalam muktamar PAS ke-61, G-18 telah berjaya mendapatkan undi sebanyak 200 lebih undi. Undian ini merupakan sokongan yang agak besar. Hal ini bermakna, masih ada ruang dan harapan cerah lagi untuk membina kekuatan baru. Dengan sokongan ini, G-18 yakin masih ada sokongan daripada rakyat kepada mereka. Perkara ini membuatkan mereka bertekad untuk mengelilingi Malaysia mencari sokongan tersebut.

Persoalannya, mengapa masih ada yang menyokong mereka? Hal ini berdasarkan pengalaman G-18 sendiri dengan PAS. Pengalaman mereka penuh dengan tragis. Mereka pernah dihumbankan ke dalam penjara semata-mata untuk memperjuangkan ideologi PAS. Pelbagai demonstrasi yang diadakan adalah untuk menaikan sokongan kepada PAS. Mereka disembur dengan gas pemedih mata oleh FRU, dipukul dengan cota dan ditocher dalam lokap. Semua ini dilakukan atas tujuan berjuang membela rakyat kerana menganggap Islam menyeru begitu.

Selain G-18, kumpulan kedua pula dikenali sebagai PASMA. PASMA merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO). PASMA diketuai oleh Phahrolrozi. Beliau antara pimpinan yang dilihat lahir hasil daripada perahan strategi golongan progresif dalam PAS. PASMA menjadi pencetus awal kepada revolusi untuk menubuhkan parti baharu.

Cetusan ini hadir selepas keputusan muktamar PAS ke-61 juga. PASMA mengumumkan untuk menubuhkan parti baharu dalam satu majlis mesyuaratnya yang diadakan pada 13 Jun 2015. Namun, suara penyokong kuat penubuhan parti baharu ini seakan-akan disilentkan sebentar untuk memberikan laluan kepada G-18 bagi mengumpulkan sokongan dahulu. Dari sini, apa kaitan antara kedua-dua entiti ini iaitu G-18 dan PASMA? Hal ini perlu diperhalusi lagi supaya kita tidak silap dalam mengkategorikan kelompok tertentu.

Persoalannya, adakah mereka tidak sayang kepada jamaah yang mereka perjuangkan selama ini dengan menubuhkan parti baharu? Adakah mereka lupa akan sejarah banyak parti baharu di Malaysia yang banyak terkubur? Di mana perginya semangat dahulu yang sedia berkorban untuk PAS?

Daripada persoalan-persoalan tersebut, ia tidak ditujukan kepada semua mereka kerana sebenarnya masih ada daripada mereka yang tidak mengimpikan penubuhan parti baharu. Misalnya, Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad Awang merupakan pimpinan Persatuan Ulama Malaysia. Walaupun beliau dikatakan sebahagian daripada kelompok ini kerana turut kalah sebagai calon yang dipertandingkan untuk merebut jawatan sebagai Presiden PAS, namun beliau berbeza pandangan dengan kelompok G-18 ini. Beliau pernah menjelaskan melalui media bahawa beliau tidak bersetuju untuk menubuhkan parti baharu.

Dengan ketokohan beliau dalam kepimpinan dan dari sudut keilmuan, saya yakin bahawa beliau juga mahu Islam didaulatkan di bumi Malaysia. Jauh sekali sekiranya kita mengatakan bahawa beliau menolak hudud? Namun, apakah yang membuatkan beliau tidak walak kepada kepimpinan ulamak?

Begitu juga, saya yakin bahawa dengan ilmu dan pengalaman yang ada dalam diri yang dikelompokkan sebagai G-18 atau pun PASMA, mereka tidak akan dengan mudah untuk menolak kepimpinan ulamak yang sedia ada. Namun, apakah sebenarnya yang berselindung di sebalik kekecohan yang berlaku dalam PAS tika ini?


Sambungan di Bahagian 2...

Monday, 15 June 2015

Polemik Politik Malaysia (Bahagian 5)

PAS pernah melakukan TS bersama dengan UMNO. Setelah 20 tahun bergelanggang sebagai pembangkang, pada tahun 1973 PAS telah mengambil keputusan untuk menerima tawaran untuk bekerjasama (tahaluf) dengan UMNO. Tahaluf ini telah membentuk Barisan Nasional (BN). Parti ini adalah gabungan beberapa parti lain yang juga telah pun bekerjasama dengan UMNO sebelum ini. Kerjasama ini hanya berlaku selama 5 tahun. Pada tahun 1978, berlaku darurat di Kelantan yang menyaksikan PAS keluar daripada BN. Alasannya ialah BN telah mengkhianati PAS, dan dalam masa yang sama BN menuduh PAS tidak mematuhi ketetapan yang ditetapkan oleh BN. Daripada kejadian ini, terdapat sebahagian ahli PAS bertindak menubuhkan parti baru yang dinamakan sebagai Berjasa dan Hamim kerana tidak bersetuju PAS keluar daripada UMNO. Berdasarkan pengalaman ini, PAS telah serik untuk membuat TS dengan UMNO lagi.


Ketidakpuasan hati kepada pemimpin itu perkara biasa. Di zaman Rasulullah SAW juga ada berlaku ketidakpuasan ini. Saidina Umar pernah meminta penjelasan daripada Nabi SAW kenapa menandatangani perjanjian bersama dengan Musyrikin Mekah tanpa diletakkan Bismillah dan title Rasulullah SAW. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Rasulullah SAW melainkan mengkehendaki patuh dan taat kepada kepimpinan Rasulullah SAW. Namun, ketidakpuasan hati Saidina Umar tidak sampai membuat pakatan yang baru seperti yang dilakukan oleh Ubay.

Dengan pendekatan dan manhaj yang berbeza ini membuatkan beberapa ahli yang berbeza pandangan dengan kepimpinan ulamak PAS telah bosan dengan kepimpinan PAS. Mereka membuat kenyataan untuk membuat parti baru. Tindakan ini seolah-olah untuk mendapat kasih sayang daripada DAP dan PKR. Namun, jawapannya jauh sekali untuk mendapatkan itu. Untuk menang dalam pilihan raya jauh sekali. Bagi saya, mungkin sekurang-kurangnya ada lima sebab. Pertama, untuk melihat kepimpinan PAS sama ada masih berkehendakkan ahli seperti mereka; kedua, mereka telah terperangkap dengan permainan politik sendiri sehingga malu dan terpaksa untuk keluar menubuhkan parti baru; ketiga, pengaruh mereka sudah hilang dalam PAS; keempat, mahu bergabung juga dengan DAP dan PKR untuk menumbangkan BN; dan kelima, mereka berkehendakkan kepada jawatan yang telah pun disingkirkan dalam muktamar PAS ke-61.

Selain itu, digambarkan bahawa kepimpinan PAS membuat keputusan dengan tidak berpijak di bumi. Banyak idealis daripada praktik. Ulamak bukan profesional. Dengan ketrampilan ulamak yang ekstrem agama tak akan mampu menarik golongan bukan Islam kepada PAS. TS diakui penting tetapi kepimpinan dalam Majlis Syura Ulamak tak maksum untuk menentukan keputusan dalam PAS. Kesemua ini sebenarnya terletak kepada kemelut PR yang ketiga iaitu matlamat. Dalam PAS ada dua golongan yang disebutkan sebelum ini iaitu golongan ulamak dan golongan profesional. Golongan ulamak lebih cenderung kepada matlamat untuk mendapatkan kejayaan daripada "Reda Allah", manakala golongan profesional bermatlamatkan kejayaan dalam politik pilihan raya. Kedua-dua matlamat ini telah membuka ruang perpecahan yang lebih besar dalam PAS. Semua ini mempamerkan siapa yang benar-benar ikhlas menjadikan politik ini sebagai alat untuk berdakwah. Bukannya politik itu menjadi matlamat utama.

Daripada analisis ini, bagi saya PR akan berpecah. PR tidak boleh berjalan tempang. PR memerlukan ketiga-tiga parti ini untuk bertembung dengan BN. Realitinya, PAS sedang berkelahi dengan DAP, manakala PKR seolah-olah penonton. DAP dilihat dianiayai dalam permainan ini. PAS pula menuduh ditikam daripada belakang oleh DAP. PKR seperti menunggu dan lihat. Sokongan terus diberikan kepada kedua-dua pihak. Sokongan yang diberikan PKR terpaksa dialihkan mengikut irama yang dimainkan. DAP pula membalas asakan PAS dengan membuang ahli-ahli PAS daripada perkhidmatan di negeri tadbirannya. PKR cuba mendamaikan kedua-duanya, namun hakikatnya PAS tetap tidak sama dengan DAP dan PKR dari sudut ideologi, pendekatan dan matlamat. Akhirnya, PR akan berpecah.


Perbahasan selanjutnya mengenai kemelut dalam BN akan dihuraikan pula pada bahagian seterusnya.

Kemelut Politik Malaysia (Bahagian 4)

Menurut Abdul Hadi Awang (2012) lagi, PAS tidak boleh disamakan dengan UMNO. Hubungan PAS dengan kalangan bukan Islam terutamanya DAP sangat berbeza dengan hubungan di antara komponen BN, iaitu UMNO, MCA dan MIC. Perbezaan utamanya adalah hubungan BN tersebut tidak berdasarkan dan berkonsepkan Islam, sebaliknya PAS berdasarkan dan berkonsepkan Islam. BN tidak berasaskan empat sumber pengambilan hukum dalam Islam iaitu al-Qur’an, Hadith, Ijmak’ Ulama dan Qias, tetapi PAS berasaskan empat sumber tersebut.

Kemelut Politik Malaysia (Bahagian 3)

Trend dramatic Anwar ini dilihat diikuti oleh gerakan Islam di Malaysia. Misalnya, pada tahun 1999, PAS mula membincangkan TS untuk bergabung dalam Barisan Alternatif (BA). Sebenarnya, pergabungan PAS dalam BA ini juga melihat kepada pengaruh ahli profesional dalam PAS. Anwar Ibrahim menjadi fenomena dalam menentang kerajaan. 

Ahli-ahli PAS banyak terpengaruh dengan pendekatan yang dibawa oleh Anwar Ibrahim sehingga sebahagian mereka disebut sebagai Anwarisme. Implikasi daripada pengaruh ini telah membina manhaj baru yang banyak bertembung dengan manhaj ulamak dalam PAS. Di sini jelas bahawa label manhaj profesional ini muncul kerana manhaj ini banyak didokong oleh golongan profesional dan golongan yang disebut sebagai Anwarisme.

Kemelut Politik Malaysia (Bahagian 2)

TS di sini bermaksud rundingan kerjasama antara dua pihak atau beberapa pihak dalam menghadapi suatu permasalahan atau konflik agar objektif bersama dapat tercapai selagi mana tidak menggadai dan melanggar prinsip syariat Islam. Ulamak dan profesional adalah dua golongan yang disebut hasil daripada dua manhaj yang berbeza. Manhaj ulamak berpaksikan ketaatan kepada kepimpinan ulamak, manakala manhaj profesional berpaksikan kepada pemerolehan strategi yang terbaik.

Manhaj ulamak merupakan pendekatan asal yang dibina dalam PAS. Pada awalnya, kesepakatan TS sesama ulamak telah berhasil membina parti baru yang dinamakan sebagai Parti Islam Se-Malaya. Parti ini adalah parti serpihan daripada Organisasi Kesatuan Melayu Kebangsaan (UMNO). Serpihan di sini disebut kerana sebahagian para ulamak yang bersama menubuhkan PAS merupakan bekas kepada ahli-ahli UMNO.

Manhaj ini juga selaras dengan slogan yang dilaungkan sejak tahun 1981. Slogan tersebut ialah Kepimpinan Ulamak. Slogan ini diperkenalkan oleh bekas Presiden PAS Tuan Guru Haji Yusuf Rawa yang juga terkenal sebagai seorang ulamak. Slogan ini diselaraskan di setiap peringkat iaitu daripada kepimpinan sehingga ke akar umbi. Tujuannya ialah untuk mengembalikan kekuatan semangat ulamak dalam kalangan seluruh ahli PAS dan memperjelaskan lagi hala tuju PAS sebagai sebuah parti yang mendokong kepimpinan ulamak.

Manhaj profesional pula adalah

Kemelut Politik Malaysia (Bahagian 1)

Kemelut politik Malaysia menjadi agenda utama dalam penyiaran media di Malaysia. Kemelut ini berlaku daripada dua kumpulan parti gabungan. Pertama, Pakatan Rakyat (PR); dan kedua, Barisan Nasional (BN). Mari sama-sama kita amati perkara yang menjadi asas kemelut politik kedua-dua kumpulan ini.

Bagi PR, kemelut yang berlaku dalam kalangan parti-parti gabungan ini berpunca daripada sekurang-kurangnya tiga asas. Pertama, ideologi berbeza; kedua, pendekatan berbeza; dan ketiga, matlamat yang berbeza. Bagi BN pula, terdapat setidak-tidaknya tiga asas juga. Pertama, kepimpinan; kedua, pengurusan dan pentadbiran; dan ketiga, kemelut dalaman parti gabungan.

Perkara pertama kemelut daripada PR iaitu ideologi berbeza. Kemelut ini sememangnya ada kerana ketiga-tiga parti gabungan ini masing-masing berasal daripada tiga jalan yang berbeza. Tidak berlaku sebarang campur tangan dalam urusan ketiga-tiga parti ini untuk bergerak melainkan dengan kepimpinan masing-masing. Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan kepimpinan Abdul Hadi Awang, Parti Demokratik Progresif (DAP) dengan kepimpinan Lim Guan Eng, dan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) dengan kepimpinan Wan Azizah Wan Ismail.

Tuesday, 3 March 2015

Rumusan Bengkel RUT 2-4 Mac 2014 (Pembangunan Berteraskan Islam)

Alhamdulillah, bengkel yang dilaksanakan ini telah selesai. Untuk agenda terakhir ini, diadakan satu mesyuarat membincangkan mengenai rumusan dan cadangan masa hadapan. Terdapat enam tumpuan perbincangan di bawah tajuk Pembangunan Berteraskan Islam ini. Pertama, Istibdal Wakaf; kedua, Pengurusan Insaniah; ketiga, Corporate Social Responsibility; keempat, Strategi Politik; kelima, Negara Zikir Brunei; dan keenam, Tasawur dan Acuan. Rumusan dan cadangan bagi keenam-enam perbincangan tersebut adalah seperti di bawah.

Istibdal Wakaf

Istibdal wakaf diperlukan. Bagaimana memperimbangkan komersial dan kebajikan istibdal wakaf? Timbul wakaf produktif, wakaf statik dan sebagainya.
Apakah semua orang perlu tahu tentang istibdal wakaf?
Di hujung penyelidikan ada pendirian yang tetap.

Reaksi daripada ketua cluster Istibdal Wakaf oleh Dr. Zakaria Bahari.
Perkara yang dibincangkan bukan semudah yang diharapkan. Pengetahuan ini boleh memberi manfaat kepada masyarakat. Mauquf 'alaih boleh menerima manfaat berterusan. Semoga pahala pewakil terus berterusan. Paling penting, istibdal tidak melangar mauquf 'alaih.
Buku disebut sebagai cadangan untuk memperkembangkan ilmu berkaitan istibdal wakaf dan perbandingan wakaf antara Brunei dan Malaysia.

Pengurusan Insaniah

Tasawur telah dilakukan kajiannya. Pelaku pembangunan dicadangkan diperdalamkan lagi kajian mengenainya. Sudah terdapat buku berkaitan pelaku pembangunan. 

Reaksi daripada ketua cluster iaitu Dr. Fadzila Azni Ahmad yang menumpukan kepada aspek yang lebih terfokus iaitu pelaku pengurusan insaniah. Ada perbahasan antara institusi atau pelaku. Penting untuk melihat daripada perspektif Islam.

Pengurusan Kualiti

Definisi kualiti daripada perspektif Islam terlepas pandang. Kemudian, baru melihat pengurusan kualiti.

Strategi Politik Pembangunan 

Politik penting dalam Islam. Politik boleh dibawa dalam dua bentuk. Pertama, secara konfrontasi; dan kedua, secara harmoni. Lebih cepat dan baik dengan harmoni. Guna tahaluf siyasi jangan sampai merugikan kita. Seni politik sememangnya diperlukan. 
Cadangan: Perlu didefinisikan semula politik dalam Islam.
Politik pembangunan berteraskan Islam di Brunei berasaskan Sultan berbeza dengan politik di Malaysia dan Indonesia. Politik pembangunan berteraskan Islam berbeza dengan politik pembangunan berteraskan organisasi. Politik itu tujuannya adalah dakwah.

Corporate Social Responsibility (CSR)

Dicadangkan insaniah dalam CSR. Dicadangkan hasil penyelidikan diterbitkan dalam jurnal.

Negara Zikir Brunei (2035)

Apakah Negara zikir telah wujud atau apakah negara zikir itu sedang diwujudkan? Daripada pembentangan terpamer Negara Brunei adalah sudah negara zikir. Disebut oleh Prof. Mahyudin bahawa hasil perbincangannya dengan pihak kerajaan, mereka mengatakan Negara Brunei telah pun Negara Zikir. Pembangunan Negara Zikir ini adalah pembangunan produktif. Negara Zikir sedang diproses. Perkemaskan definisi Negara Zikir.

Tasawur dan Acuan Pembangunan

Terdapat perbincangan yang dilakukan mengenai hutang. Hutang dibincangkan penyelesaiannya yang harus hadir daripada dalam diri manusia. Bagaimana untuk menghindarkan negara dan rakyat daripada berhutang? Islam meletakkan tahap berhutang yang dibolehkan. Usaha orang bukan Islam lebih hebat daripada orang Islam sendiri. Mereka mengambil nilai universal untuk mengaplikasikan dalam diri mereka. Adakah betul orang bukan Islam lebih Islamik berbanding orang Islam, sedangkan akidah dan tasawurnya berbeza. Bezanya adalah mereka memegang konsep universal berbanding Islam berpandukan kepada nas. Salah jika disebut orang bukan Islam lebih Islam daripada orang Islam. Contohnya konsep justice dan konsep 'adl itu berbeza.

Sustainability (kelestarian) perlu ada beberapa konsep iaitu adanya konsep istiqamah yang meletakkan itqan dan diakhiri dengan bermuhasabah. Acuan berbeza dengan pillar

Setakat ini sahaja yang dapat dirumuskan dan dicadangkan dalam Bengkel RUT 2015 ini.

Waallu'alam.


Monday, 2 March 2015

Pertemuan Intelektual Islam di Bengkel Research University Team (RUT) 2-4 Mac 2015 ISDEV, USM

Pada 2-4 Mac 2015 sedang berlangsung bengkel RUT Team kali ke-5. Bengkel ini dianjurkan oleh Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV bertempat di Universiti Sains Malaysia. Bengkel ini dijadikan tempat berkumpul daripada tiga negara iaitu Negara Brunei, Indonesia dan Malaysia untuk membincangkan Pembangunan Berteraskan Islam. Terdapat enam tumpuan perbincangan di bawah tajuk Pembangunan Berteraskan Islam ini. Pertama, Istibdal Wakaf; kedua, Pengurusan Insaniah; ketiga, Corporate Social Responsibility; keempat, Strategi Politik; kelima, Negara Zikir Brunei; dan keenam, Tasawur dan Acuan.

Bagi Istibdal Wakaf, senarai tajuk-tajuk kertas kerja yang dibentangkan adalah seperti berikut:

1. Pendapat Fuqaha' dan Kesannya Dalam Pelaksanaan Inovasi Wakaf di Brunei
    - Dr. Kamaru Salam Yusof dan Dr. Fadzliwati Mohiddin (UNISSA)

2. Pengurusan Wakaf di Brunei Darussalam: Tinjauan Awal Terhadap Pelaksanaan Istibdal Wakaf
    - Dr. Hjh Rose Abdullah dan Hjh Norliza DSS Hj Mahalle (UNISSA)