Monday, 15 June 2015

Kemelut Politik Malaysia (Bahagian 1)

Kemelut politik Malaysia menjadi agenda utama dalam penyiaran media di Malaysia. Kemelut ini berlaku daripada dua kumpulan parti gabungan. Pertama, Pakatan Rakyat (PR); dan kedua, Barisan Nasional (BN). Mari sama-sama kita amati perkara yang menjadi asas kemelut politik kedua-dua kumpulan ini.

Bagi PR, kemelut yang berlaku dalam kalangan parti-parti gabungan ini berpunca daripada sekurang-kurangnya tiga asas. Pertama, ideologi berbeza; kedua, pendekatan berbeza; dan ketiga, matlamat yang berbeza. Bagi BN pula, terdapat setidak-tidaknya tiga asas juga. Pertama, kepimpinan; kedua, pengurusan dan pentadbiran; dan ketiga, kemelut dalaman parti gabungan.

Perkara pertama kemelut daripada PR iaitu ideologi berbeza. Kemelut ini sememangnya ada kerana ketiga-tiga parti gabungan ini masing-masing berasal daripada tiga jalan yang berbeza. Tidak berlaku sebarang campur tangan dalam urusan ketiga-tiga parti ini untuk bergerak melainkan dengan kepimpinan masing-masing. Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan kepimpinan Abdul Hadi Awang, Parti Demokratik Progresif (DAP) dengan kepimpinan Lim Guan Eng, dan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) dengan kepimpinan Wan Azizah Wan Ismail.



Dengan kepimpinan yang berbeza ini, maka masing-masing membawa ideologi masing-masing. Ideologi PAS dengan ideologi Islam, DAP dengan ideologi kapitalis sosialis, dan PKR dengan ideologi sosialis. Kenapa saya mengatakan bahawa PAS membawa ideologi Islam kerana perjuangan yang selalu dilaung-laungkan dan brandnya selalu dikaitkan dengan Islam. Bahkan, setiap ceramah-ceramah yang disampaikan adalah berunsurkan Islam. DAP pula sentiasa melaung-laungkan slogan untuk menjaga rakyat. Mereka dalam masa yang sama terlibat dengan ekonomi berunsur kapitalis. Ekonomi kapitalis ini merujuk kepada pelakunya yang sentiasa mengambil peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan pelbagai cara walaupun tidak sesuai dengan agama. Parti ini dibezakan dengan PKR kerana ahli yang mendominasinya ialah kaum Cina. PKR juga adalah parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat. Namun, parti ini lebih dikuasi oleh kaum Melayu. Parti ini mengutamakan hak asasi manusia. Parti ini menjadi alat pelbagai kaum untuk memperjuangkan nasib rakyat dengan slogan-slogan "merakyatkan".

Perbezaan ketiga-tiga parti ini membawa asas kemelut yang kedua iaitu kemelut pendekatan yang berbeza. Pendekatan ini jelas berbeza dari segi pembawakannya. PAS dengan pembawakan Islam, DAP dengan pembawakan kapitalis sosialis dan PKR dengan pendekatan sosialis. Daripada ketiga-tiga pendekatan yang berbeza ini, PKR dan DAP agak sama pembawakannya berbanding PAS yang membawa pendekatan Islamik.

Kemelut pendekatan ini semakin teserlah selepas muktamar PAS ke-61. Dalam muktamar ini, PAS telah mengusulkan untuk tidak bertahaluf lagi dengan DAP dan masih bersama dengan PR. Hal ini bermaksud, PAS tidak ada apa-apa lagi kerjasama dengan DAP dan dalam masa yang sama masih berperanan untuk menentang BN dalam pilihanraya. Dengan pendekatan ini, timbul masalah di negeri yang diperintah oleh DAP iaitu Negeri Pulau Pinang. Ahli PAS yang bekerja di bawah pimpinan DAP telah diarahkan oleh Lim Guan Eng untuk meletakkan jawatan kerana PAS sudah tidak lagi bekerjasama dengan DAP. Asakan oleh DAP Pulau Pinang ini menarik perhatian Negeri Selangor yang merasakan mereka juga akan terlibat kerana Negeri Selangor mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada ketiga-tiga parti ini iaitu PKR, PAS dan DAP. Namun, Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor awal-awal lagi menjadi playsafe untuk tidak terlibat dalam pertembungan ini.

Tahaluf siyasi (TS) ini telah dilalui PAS selama 36 tahun. Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali (2011) menjelaskan bahawa PAS mula melakukan kerjasama politik bermula sejak tahun 1974 lagi. Ketika itu PAS membuat kerjasama bersama UMNO dan beberapa parti komponen yang lain dalam Parti Perikatan (1972-1977) seperti Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC). Kemudian, PAS melakukan kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) yang membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) (1990-1996).

Seterusnya, PAS bersama dengan PKR, DAP, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan membentuk Barisan Alternatif (BA) (1999-2008). Kerjasama bersama BA terus kekal sehingga saat ini walaupun BA telah bertukar namanya kepada Pakatan Rakyat (PR). Menurut beliau lagi, TS merupakan saluran dakwah yang telah memberikan kefahaman Islam dan perjuangan Islam kepada parti-parti lain apabila bekerjasama dengan PAS. TS juga adalah satu strategi politik dan bukan dasar bagi PAS.

Selama 36 tahun ini, PAS telah mengalami pelbagai cabaran apabila menggunakan TS. Antara cabarannya ialah PAS terpaksa keluar daripada Parti Perikatan, Kelantan diisytihar darurat sehingga menyebabkan pemerintahan PAS di Kelantan jatuh kepada Barisan Nasional (BN), dan berlaku perselisihan faham sesama ahli PAS sehingga sekarang. 

Hari ini, sekali lagi pendekatan TS yang diamalkan PAS dipertikaikan. Tika ini, yang mempertikaikan TS bukan daripada orang luar PAS, tetapi daripada orang dalam PAS sendiri. Apa yang berlaku dalam PAS sebenarnya? PAS pernah goyah di era Datuk Asri, tetapi tidak seteruk hari ini.

PAS berpencak di arena politik dengan pelbagai kaedah. Antaranya menyertai politik demokrasi, bersistemkan syura, mengutamakan wala' dan berTS. PAS pernah bersendirian, PAS juga pernah bergabung dengan UMNO, PAS juga pernah bergabung dengan parti-parti pembangkang di Malaysia yang lain. Namun, apa sebab hari ini apabila PAS membuat usul tidak mahu bekerjasama dengan DAP ramai yang mempertikaikan. Adakah ahli-ahli PAS sudah benar matang dalam membuat sesuatu keputusan mengikut situasi semasa (fiqh waqi')?




No comments:

Post a Comment