Menurut Abdul Hadi Awang (2012) lagi, PAS tidak boleh disamakan dengan UMNO. Hubungan PAS dengan
kalangan bukan Islam terutamanya DAP sangat berbeza dengan hubungan di antara
komponen BN, iaitu UMNO, MCA dan MIC. Perbezaan utamanya adalah hubungan BN
tersebut tidak berdasarkan dan berkonsepkan Islam, sebaliknya PAS berdasarkan
dan berkonsepkan Islam. BN tidak berasaskan empat sumber pengambilan hukum dalam
Islam iaitu al-Qur’an, Hadith, Ijmak’ Ulama dan Qias, tetapi PAS berasaskan
empat sumber tersebut.
Bagi
manhaj TS PAS yang kedua pula ialah TS ini digunakan oleh PAS sebagai kaedah
untuk bergabung dengan parti komponen yang lain[1].
Gabungan ini bertujuan untuk menghadapi musuh yang sama. Menurut Ahmad Fadhli
Shaari[2]
(2008), jalinan tersebut mempunyai tujuan menjatuhkan musuh yang sama iaitu
kerajaan United Malayan National
Organization (UMNO) yang disebut juga sebagai BN dalam konteks pakatan
antara MCA, MIC dan UMNO. Dalam hal ini, bekas Jawatankuasa Agung PAS Abu Bakar
Hamzah (1992) pernah berkata tahaluf boleh berlaku dengan orang Islam
atau dengan orang kafir atas dasar menentang musuh mereka. Dengan ijtihad TS yang digunakan, PAS pernah
bergabung dengan Parti Melayu
Semangat-46, BERJASA dan HAMIM yang membentuk Angkatan Perpaduan Ummah
(APU) untuk berhadapan dengan BN. Sekarang digunakan TS untuk bergabung
dalam PR yang mempunyai tiga parti utama iaitu PKR, PAS dan DAP (Abdul Hadi
Awang, 2012).
Hal ini turut dibincangkan oleh Ahmad Fadhli
Shaari (2008) yang mengatakan bahawa kerjasama ini boleh terjadi dalam apa jua
bidang yang dipersetujui bersama untuk menghadapi musuh yang sama. TS juga kemungkinan boleh berlaku dengan
gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam.
Dalam suasana hari ini, TS yang
dimaksudkan ini juga termasuklah kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk
menghadapi musuh yang sama.
Daripada
kedua-dua manhaj ini, golongan pemikiran ulamak lebih cenderung kepada manhaj
pertama, manakala golongan pemikiran profesional lebih cenderung kepada manhaj
kedua. Kedua-dua perbezaan ini telah membawa kepada pertembungan manhaj dalam PAS.
[1] Temu
bual yang dilakukan terhadap Wan Nik Wan Yusoff selaku Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan. Temu bual ini dilakukan di pejabat beliau di Kompleks
Pusat Pentadbiran Negeri, Kota Darul Naim pada 5 Disember 2012.
[2] Temu
bual telah dilakukan terhadap Fadhli Shaari selaku Setiausaha Akhbar Menteri
Besar Kelantan. Temu bual tersebut dilakukan di sebuah restoran berdekatan
Pasir Tumboh, Kelantan pada 4 Disember 2013. Data yang dikemukakan ini boleh
didapati juga di dalam artikelnya yang boleh dilihat menerusi laman sesawang kias.edu.my/tahalufsiasi08.htm.
No comments:
Post a Comment