Monday, 15 June 2015

Kemelut Politik Malaysia (Bahagian 3)

Trend dramatic Anwar ini dilihat diikuti oleh gerakan Islam di Malaysia. Misalnya, pada tahun 1999, PAS mula membincangkan TS untuk bergabung dalam Barisan Alternatif (BA). Sebenarnya, pergabungan PAS dalam BA ini juga melihat kepada pengaruh ahli profesional dalam PAS. Anwar Ibrahim menjadi fenomena dalam menentang kerajaan. 

Ahli-ahli PAS banyak terpengaruh dengan pendekatan yang dibawa oleh Anwar Ibrahim sehingga sebahagian mereka disebut sebagai Anwarisme. Implikasi daripada pengaruh ini telah membina manhaj baru yang banyak bertembung dengan manhaj ulamak dalam PAS. Di sini jelas bahawa label manhaj profesional ini muncul kerana manhaj ini banyak didokong oleh golongan profesional dan golongan yang disebut sebagai Anwarisme.


Oleh sebab berbezanya pendekatan dua manhaj ini, maka berlaku pertembungan dalam merencanakan strategi dalam PAS. Antara pertembungan strategi yang jelas ialah isu pelaksanaan TS. Merujuk kepada sejarah PAS, PAS telah berpengalaman selama 36 tahun dalam melakukan TS. Seperti menurut Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali (2011), PAS mula melakukan kerjasama politik bermula sejak tahun 1974 lagi. Ketika itu, PAS membuat kerjasama bersama UMNO dan beberapa parti komponen yang lain dalam Parti Perikatan (1972-1977) seperti Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC). Kemudian, PAS melakukan kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) yang membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) (1990-1996).

Seterusnya, PAS bersama dengan PKR, DAP, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan membentuk Barisan Alternatif (BA) (1999-2008). Kerjasama bersama BA terus kekal sehingga saat ini walaupun BA telah bertukar namanya kepada Pakatan Rakyat (PR). Menurut beliau lagi, TS merupakan saluran dakwah yang telah memberikan kefahaman Islam dan perjuangan Islam kepada parti-parti lain apabila bekerjasama dengan PAS. Di sini, TS dipamerkan sebagai satu strategi politik dan bukan dasar bagi PAS.

Selama 36 tahun ini, PAS telah mengalami pelbagai cabaran apabila menggunakan TS. Antara cabarannya ialah PAS terpaksa keluar daripada Parti Perikatan, Kelantan diisytihar darurat sehingga menyebabkan pemerintahan PAS di Kelantan jatuh kepada Barisan Nasional (BN), dan berlaku perselisihan faham sesama ahli PAS sehingga sekarang. Daripada pengalaman-pengalaman tersebut, telah terbentuk dua manhaj yang berbeza terhadap pelaksanaan TS dalam PAS. Pertama, TS dilakukan untuk dakwah; dan kedua, TS digunakan untuk berhadapan dengan musuh yang sama.

Bagi manhaj yang pertama, TS ini dijadikan sebagai strategi untuk berdakwah. Pemikiran seperti ini lebih mempamerkan keutamaan mereka kepada kebenaran Islam daripada hanya semata-mata berpolitik. Seperti menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Nik Zawawi Nik Salleh (2012), beliau menyatakan bahawa terdapat dua implikasi penggunaan TS oleh PAS. Pertama, dakwah dapat disampaikan kepada masyarakat bukan Islam; dan kedua, dengan TS dakwah dapat disampaikan kepada masyarakat Islam yang tidak memahami perjuangan Islam, seperti sebahagian rakan-rakan PAS dalam PKR. Badan Bukan Kerajaan (NGO) ditarik duduk bersama dalam PAS mengikut kaedah TS, tujuannya memperkenalkan mereka kepada keindahan Islam. Penggunaan TS ini diharapkan membawa kemenangan. Kemenangan ini akan digunakan untuk menyelamatkan akidah umat Islam yang terlibat dalam dosa-dosa besar, sekali gus membawa kepada keredaan Allah SWT.

Begitu juga, menurut Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan Ahmad Fadhli Shaari (2008), kerjasama politik ini penting sebagai salah satu pendekatan dalam memperkenalkan konsep negara Islam kepada golongan bukan Islam.

Tujuan TS untuk berdakwah ini menurut kepimpinan PAS adalah bertepatan dengan nas al-Qur’an dan Hadith. Hal ini seperti yang disebut oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang (2012) seperti berikut:

“Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan tahaluf yang berpandukan nas. Pakatan Rakyat adalah satu muafakat politik dalam konsep tahaluf siyasi yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Fiqah politik Islam. Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, masyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah” (Abdul Hadi Awang, 2012).

No comments:

Post a Comment