Sunday, 28 June 2015

Jagalah Hati Orang Lain

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Sesunguhnya dalam tubuh badan anak Adam itu ada segumpal darah, sekiranya baik segumpal darah tersebut, maka baiklah seluruh anggotanya, sekiranya buruk segumpal darah tersebut, maka buruklah seluruh anggotanya, itulah hati".

Dalam hadith tersebut dijelaskan bahawa menjaga hati adalah suatu sikap yang baik. Sikap ini tidak dimiliki oleh semua orang. Ada yang menjaga hati untuk kebaikan. Ada yang menjaga hati untuk kejahatan. Hati mengawal seluruh tingkah laku manusia.

Terdapat dua sudut penjagaan hati. Pertama, penjagaan hati sendiri; dan kedua, penjagaan hati orang lain. Bagi yang pertama, hati ini dijaga untuk diri sendiri. Ia lebih fokus kepada menjaga kepentingan diri sendiri. Penjagaan ini mungkin untuk mendapatkan pencapaian yang baik dan pangkat yang tinggi.

Menjaga hati sendiri sebenarnya lebih sukar daripada menjaga hati orang lain. Hati mudah untuk menerima penyakit. Penyakit ini sama ada bersifat fizikal atau rohani. Sekiranya bersifat fizikal, ia boleh dirawat dengan menggunakan perubatan moden atau perubatan secara Islam. Manakala, penyakit hati yang bersifat rohani agak sukar untuk mengubatinya, melainkan ada panduan.

Apa penyakit tersebut? dan apa panduan tersebut? Penyakit tersebut seperti riya', 'ujub dan sum'ah. Riya' ialah sikap menunjuk-nunjuk melalui perbuatan. 'Ujub pula ialah merasa takjub dengan kebolehan diri sendiri. Manakala sum'ah ialah suka mengkhabarkan kepada orang lain kebaikan diri sendiri.

Ketiga-tiga penyakit hati ini sukar untuk diubati kerana ada sebahagian manusia yang tidak sedar terkenanya penyakit tersebut. Penyakit ini tidak akan dapat dikenal pasti melainkan dengan panduan. Panduan tersebut ialah al-Qur'an dan al-Hadith. Cabang kepada panduan ini lebih fokus kepada panduan tasawuf, akhlak dan ihsan.

Imam Ghazali dalam kitab Ihya' 'Ulumuddin ada menjelaskan mengenai panduan untuk menangani masalah ini. Dalam kitab Minhajul 'Abidin juga dijelaskan. Misalnya, banyak istighfar dan banyak ingat mati. Untuk lebih lanjut, para pembaca boleh merujuk kepada kitab-kitab ini.

Apabila penyakit hati secara rohani ini dapat diubati, maka dengan mudahlah akan dapat menjaga hati orang lain. Hal ini merupakan perkara kedua tumpuan dalam topik ini. Percakapan yang keluar daripada mulut selalunya berpandukan kepada hati. Apabila hati bersih, mereka tidak akan bercakap sesuatu yang kotor dan bodoh seperti yang disebut dalam hadith "Puasa itu perisai, maka janganlah bercakap perkara yang kotor dan bodoh".

Perkataan kotor dan bodoh ini terserlah dengan perbuatannya banyak bercakap perkara yang menyakitkan hati orang lain. Tidak pandai menjaga hati orang lain. Sungguh malang, kadang-kadang mereka sendiri tidak sedar mereka sedang menyakiti hati orang lain. Bercakap pula banyak, tapi satu pun tidak mendatangkan faedah. Bercakap nak tunjukkan bahawa dia tahu semua, tetapi orang lain tahu bahawa dia tak tahu.

Orang begini hanya bersifat individualistik iaitu mereka lebih suka menjaga hati sendiri daripada menjaga hati orang lain. Bersikap mempertahankan diri apabila merasa diri diperhatikan. Mereka lebih senang supaya orang dengar cakap mereka daripada mereka dengar cakap orang lain. Nampak macam boleh memimpin, tetapi sebenarnya tak pandai pun dalam urusan kepimpinan.

Fuh! Sukar kalau ada penyakit hati secara rohani ini. Tak mampu diubati melainkan dengan ilmu dan amal yang berterusan. Ilmu dan amal ini pula harus dimasukkan nilai-nilai dan kefahaman daripada ilmu tasawuf supaya dapat menjaga dan mengubati hati.

Kalau kita banyak jaga hati orang lain, Allah SWT akan jaga hati kita dan mendatangkan penjagaan hati kita daripada orang lain. Masyarakat yang mengamalkan perkara begini akan mudah untuk bermasyarakat daripada masyarakat yang bersikap hanya mementingkan hati sendiri daripada hati orang lain.

No comments:

Post a Comment