PAS pernah melakukan TS bersama dengan UMNO. Setelah 20 tahun bergelanggang sebagai pembangkang, pada tahun 1973 PAS telah mengambil keputusan untuk menerima tawaran untuk bekerjasama (tahaluf) dengan UMNO. Tahaluf ini telah membentuk Barisan Nasional (BN). Parti ini adalah gabungan beberapa parti lain yang juga telah pun bekerjasama dengan UMNO sebelum ini. Kerjasama ini hanya berlaku selama 5 tahun. Pada tahun 1978, berlaku darurat di Kelantan yang menyaksikan PAS keluar daripada BN. Alasannya ialah BN telah mengkhianati PAS, dan dalam masa yang sama BN menuduh PAS tidak mematuhi ketetapan yang ditetapkan oleh BN. Daripada kejadian ini, terdapat sebahagian ahli PAS bertindak menubuhkan parti baru yang dinamakan sebagai Berjasa dan Hamim kerana tidak bersetuju PAS keluar daripada UMNO. Berdasarkan pengalaman ini, PAS telah serik untuk membuat TS dengan UMNO lagi.
Ketidakpuasan hati kepada pemimpin itu perkara biasa. Di zaman Rasulullah SAW juga ada berlaku ketidakpuasan ini. Saidina Umar pernah meminta penjelasan daripada Nabi SAW kenapa menandatangani perjanjian bersama dengan Musyrikin Mekah tanpa diletakkan Bismillah dan title Rasulullah SAW. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Rasulullah SAW melainkan mengkehendaki patuh dan taat kepada kepimpinan Rasulullah SAW. Namun, ketidakpuasan hati Saidina Umar tidak sampai membuat pakatan yang baru seperti yang dilakukan oleh Ubay.
Dengan pendekatan dan manhaj yang berbeza ini membuatkan beberapa ahli yang berbeza pandangan dengan kepimpinan ulamak PAS telah bosan dengan kepimpinan PAS. Mereka membuat kenyataan untuk membuat parti baru. Tindakan ini seolah-olah untuk mendapat kasih sayang daripada DAP dan PKR. Namun, jawapannya jauh sekali untuk mendapatkan itu. Untuk menang dalam pilihan raya jauh sekali. Bagi saya, mungkin sekurang-kurangnya ada lima sebab. Pertama, untuk melihat kepimpinan PAS sama ada masih berkehendakkan ahli seperti mereka; kedua, mereka telah terperangkap dengan permainan politik sendiri sehingga malu dan terpaksa untuk keluar menubuhkan parti baru; ketiga, pengaruh mereka sudah hilang dalam PAS; keempat, mahu bergabung juga dengan DAP dan PKR untuk menumbangkan BN; dan kelima, mereka berkehendakkan kepada jawatan yang telah pun disingkirkan dalam muktamar PAS ke-61.
Selain itu, digambarkan bahawa kepimpinan PAS membuat keputusan dengan tidak berpijak di bumi. Banyak idealis daripada praktik. Ulamak bukan profesional. Dengan ketrampilan ulamak yang ekstrem agama tak akan mampu menarik golongan bukan Islam kepada PAS. TS diakui penting tetapi kepimpinan dalam Majlis Syura Ulamak tak maksum untuk menentukan keputusan dalam PAS. Kesemua ini sebenarnya terletak kepada kemelut PR yang ketiga iaitu matlamat. Dalam PAS ada dua golongan yang disebutkan sebelum ini iaitu golongan ulamak dan golongan profesional. Golongan ulamak lebih cenderung kepada matlamat untuk mendapatkan kejayaan daripada "Reda Allah", manakala golongan profesional bermatlamatkan kejayaan dalam politik pilihan raya. Kedua-dua matlamat ini telah membuka ruang perpecahan yang lebih besar dalam PAS. Semua ini mempamerkan siapa yang benar-benar ikhlas menjadikan politik ini sebagai alat untuk berdakwah. Bukannya politik itu menjadi matlamat utama.
Daripada analisis ini, bagi saya PR akan berpecah. PR tidak boleh berjalan tempang. PR memerlukan ketiga-tiga parti ini untuk bertembung dengan BN. Realitinya, PAS sedang berkelahi dengan DAP, manakala PKR seolah-olah penonton. DAP dilihat dianiayai dalam permainan ini. PAS pula menuduh ditikam daripada belakang oleh DAP. PKR seperti menunggu dan lihat. Sokongan terus diberikan kepada kedua-dua pihak. Sokongan yang diberikan PKR terpaksa dialihkan mengikut irama yang dimainkan. DAP pula membalas asakan PAS dengan membuang ahli-ahli PAS daripada perkhidmatan di negeri tadbirannya. PKR cuba mendamaikan kedua-duanya, namun hakikatnya PAS tetap tidak sama dengan DAP dan PKR dari sudut ideologi, pendekatan dan matlamat. Akhirnya, PR akan berpecah.
Perbahasan selanjutnya mengenai kemelut dalam BN akan dihuraikan pula pada bahagian seterusnya.
No comments:
Post a Comment