Monday, 15 June 2015

Kemelut Politik Malaysia (Bahagian 2)

TS di sini bermaksud rundingan kerjasama antara dua pihak atau beberapa pihak dalam menghadapi suatu permasalahan atau konflik agar objektif bersama dapat tercapai selagi mana tidak menggadai dan melanggar prinsip syariat Islam. Ulamak dan profesional adalah dua golongan yang disebut hasil daripada dua manhaj yang berbeza. Manhaj ulamak berpaksikan ketaatan kepada kepimpinan ulamak, manakala manhaj profesional berpaksikan kepada pemerolehan strategi yang terbaik.

Manhaj ulamak merupakan pendekatan asal yang dibina dalam PAS. Pada awalnya, kesepakatan TS sesama ulamak telah berhasil membina parti baru yang dinamakan sebagai Parti Islam Se-Malaya. Parti ini adalah parti serpihan daripada Organisasi Kesatuan Melayu Kebangsaan (UMNO). Serpihan di sini disebut kerana sebahagian para ulamak yang bersama menubuhkan PAS merupakan bekas kepada ahli-ahli UMNO.

Manhaj ini juga selaras dengan slogan yang dilaungkan sejak tahun 1981. Slogan tersebut ialah Kepimpinan Ulamak. Slogan ini diperkenalkan oleh bekas Presiden PAS Tuan Guru Haji Yusuf Rawa yang juga terkenal sebagai seorang ulamak. Slogan ini diselaraskan di setiap peringkat iaitu daripada kepimpinan sehingga ke akar umbi. Tujuannya ialah untuk mengembalikan kekuatan semangat ulamak dalam kalangan seluruh ahli PAS dan memperjelaskan lagi hala tuju PAS sebagai sebuah parti yang mendokong kepimpinan ulamak.

Manhaj profesional pula adalah
manhaj terkini yang disebut oleh ahli PAS untuk membezakan dengan manhaj ulamak. Manhaj ini timbul disebabkan oleh dua perkara. Pertama, kemasukan ahli PAS daripada gerakan lain; dan kedua, gerakan Islam di Malaysia terpengaruh dengan Anwar. Bagi yang pertama, kemasukan ahli PAS yang asalnya daripada gerakan luar, kebanyakan mereka adalah daripada kalangan profesional dan bukan dalam kalangan agamawan.

Sebenarnya, PAS sebagai sebuah parti di Malaysia tidak dapat menghalang kemasukan ahli-ahli daripada bekas ahli gerakan luar seperti ahli Jamaah Islah Malaysia (JIM), ahli Suara Islam, dan ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) untuk menyertai PAS. Untuk menjadi pimpinan PAS juga tidak disyaratkan hanya mereka yang ditarbiyah dalam sistem PAS sahaja boleh menjadi pimpinan. Oleh yang demikian, terdapat pimpinan PAS juga yang merupakan bekas ahli daripada gerakan luar. Antaranya ialah Fadzil Noor daripada ABIM, Abdul Hadi Awang daripada ABIM, Shaari Shuib daripada JIM, dan Khalid Samad daripada Suara Islam.


Oleh sebab adanya pimpinan daripada ABIM, maka PAS menjadi sekutu rapat dengan Anwar Ibrahim yang merupakan pimpinan ABIM. Hal ini membawa kepada sebab kedua timbulnya manhaj profesional ini iaitu banyak gerakan Islam yang terpengaruh dengan Anwar Ibrahim. Sebelum Anwar Ibrahim menyertai UMNO, semua gerakan Islam di Malaysia bersama-sama untuk melakukan perubahan secara radikalisme. Banyak diadakan tunjuk perasaan. 

Setelah Anwar Ibrahim masuk ke dalam UMNO, semua gerakan mengharapkan Anwar dapat menjadi Perdana Menteri dan membuat banyak perubahan. Pada ketika ini, gerakan Islam agak pasif dan lebih tenang. Hal ini berubah setelah Anwar dipecat daripada kerajaan pada tahun 1997 atas kesalahan penyalahgunaan kuasa dan liwat. Gerakan Islam mula bertindak agak agresif dan radikal. Tunjuk perasaan mula diadakan semula. 

No comments:

Post a Comment